Harga Menu Sotong Di Kedai Makan Cekik Darah, Baik Buat Sendiri! – Manis Madu
Harga Menu Sotong Di Kedai Makan Cekik Darah, Baik Buat Sendiri!

Harga Menu Sotong Di Kedai Makan Cekik Darah, Baik Buat Sendiri!

Maduners tercari-cari resipi sotong yang sedap? Ya, korang berada di tempat yang tepat! Selalunya sotong bukanlah pilihan utama masyarakat Malaysia sebagai menu harian. Mungkin kerana ramai tak tahu variasi resipi sotong yang sedap.

 

Haa, untuk bantu memudahkan Maduners, Anis akan kongsikan beberapa resipi sotong yang best-best untuk korang. Confirm rasa nak cuba!

Resipi Sotong Goreng Kunyit

Sotong goreng kunyit boleh dikatakan resipi paling ringkas dan basic! Paling penting sedap rasanya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by @edafata

Bahan-bahan:

  • ½ kilo sotong (bersihkan dan toskan)
  • 1 biji bawang besar (dihiris nipis)
  • 3 ulas bawang putih (diketuk)
  • 2 tangkai cili merah (dihiris)
  • 7 biji cili api (ikut tahap kepedasan yang korang suka, kalau suka pedas lebihkan)
  • Sebatang serai (diketuk)
  • Serbuk kunyit
  • Garam

 

Cara penyediaan

  1. Pertama sekali, panaskan minyak dalam kuali, tumis bawang besar, bawang putih dan serai hingga kekuningan.
  2. Kemudian, masukkan cili merah, cili api dan serbuk kunyit.
  3. Bila dah naik bau, masukkan main star kita iaitu sotong! Kemudian, perasakan dengan garam.
  4. Gaul hingga sebati dan sotong masak. Dan sedia untuk dihidang!

Resipi Sotong Goreng Tepung Rangup

Untuk nak dapatkan sotong goreng yang betul-betul rangup, Maduners perlu gunakan teknik yang betul untuk memasaknya. Korang boleh cuba cara di bawah okay!

satria-setiawan-uu3yWi0XVcQ-unsplash (1)

Bahan-bahan:

  • 1 kilo sotong. Bersihkan terlebih dahulu, buang kulit hitam bahagian luar, potong bulat, cuci dan toskan.
  • Tambahkan 2 sudu cuka epal, gaul hingga rata kemudian ketepikan.

*Tujuan cuka epal ditambah adalah untuk mengelakkan sotong dari meletup ketika digoreng.

 

Bahan untuk salutan tepung:

  • 10 sudu besar tepung gandum
  • 6 sudu besar tepung jagung
  • 2 sudu kecil serbuk lada hitam
  • 2 sudu kecil serbuk lada sulah
  • Garam
  • Sedikit serbuk kunyit
  • 2 biji telur dipukul hingga kembang

 

Cara penyediaan:

  1. Ambil sotong yang sudah digaul dengan cuka epal tadi, campurkan sedikit dengan garam, serbuk kunyit, lada hitam dan lada sulah. Gaul sebati.
  2. Masukkan sotong dalam bekas telur kemudian golek-golekkan sotong dalam bekas tepung. Pastikan semua bahagian sotong bersalut dengan tepung.
  3. Panaskan minyak, kemudian masukkan sotong satu persatu ke dalam kuali. Jangan masuk terlalu banyak ya, ini supaya suhu panas minyak cukup untuk merangupkan tepung salutan.
  4. Masak hingga keperangan dalam api yang sederhana besar. Pastikan minyak betul-betul panas tau!
  5. Bila dah nampak sotong tepung kita sudah keperang-perangan, angkat sotong dan toskan. Sedia untuk dinikmati!

Resipi Sotong Phat Phet ala Thai

Buat Maduners yang menggemari hidangan ala Thai, menu ini memang ngam soi untuk korang!

Bahan-bahan A:

  • Cili api/cili merah ikut tahap kepedasan
  • Bawang putih
  • Bawang merah
  • Kunyit hidup
  • Serai
  • Belacan
  • Lada hitam (letak sedikit sahaja)

 

Bahan-bahan B

  • Sotong
  • Asam keping
  • 1 batang serai (dititik)
  • Sedikit garam dan gula
  • Daun limau purut
  • Kacang panjang
  • Lobak merah
  • Bunga kubis

 

Cara penyediaan:

  1. Pertama sekali, tumiskan bahan kisar dan masukkan serai yang dititik sehingga naik bau dan pecah minyak.
  2. Bila tumisan tadi dah kering, masukkan sedikit air (jangan banyak sangat tau).
  3. Bila bahan-bahan tadi dah mendidih, masukkan sotong, asam keping, daun limau purut dan perasakan dengan garam dan gula.
  4. Gaul hingga sebati dan biarkan sehingga sotong masak. Sementara itu, masukkan kacang panjang, lobak merah serta bunga kubis. Kacau rata dan biarkan sayur-sayur itu sedikit layu.
  5. Angkat dan hidangkan bersama nasi panas. Memang padu!

Resipi Sotong Bakar

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Mrś Xu Jim 😎 (@xiilaaa)

Bahan-bahan:

  • Sotong 3 ekor

 

Bahan perapan:

  • 2 sudu besar serbuk kari
  • 1 sudu serbuk kunyit
  • 3 sudu sos tiram
  • 3 sudu sos cili
  • 2 sudu sos Thai
  • ½ sudu kecil lada hitam
  • Garam secukup rasa
  • Daun kesum dan daun limau purut (optional)

 

Cara penyediaan:

  1. Mula-mula, bersihkan sotong terlebih dahulu.
  2. Perap dengan bahan-bahan perapan paling lama, satu jam. Kalau nak cepat, tak perap pun takpe. Asalkan gaul sebati sudah.
  3. Seterusnya, bakar dalam pan (kuali leper) sehingga masak. Gunakan api sederhana ya, tak kuat sangat dan tidak terlalu perlahan.
  4. Setelah siap, hidangkan dan gunting badan sotong sehingga kelihatan isi dalamnya.

Resipi Sotong Masak 3 Rasa

Korang jangan ingat ikan jerr boleh dibuat masak 3 rasa, sotong pun boleh! Resipi yang ini juga tak kalah menariknya. Sedap hingga menjilat pinggan!

Bahan-bahan:

  • ½ kilo sotong
  • Ubi kentang 2 biji (digoreng terlebih dahulu)
  • 3 biji cili merah
  • 6 biji cili padi
  • 3 ulas bawang kecil
  • 2 ulas bawang putih
  • Sedikit belacan
  • Sedikit kicap manis
  • Sebatang serai (diketuk)
  • Satu cawan air asam jawa
  • Kiub pati ayam
  • Garam dan gula

 

Cara penyediaan:

  1. Tumbuk halus cili merah, cili padi, bawang kecil, bawang putih bersama belacan. Tumiskan.
  2. Bila bahan tumisan tadi sudah pecah minyak, masukkan air asam jawa, sedikit kicap manis, kiub pati ayam dan gaul sebati.
  3. Perasakan dengan gula dan garam. Pastikan secukup rasa ya.
  4. Masak semua bahan-bahan hingga pekat, kemudian masukkan sotong. Masak sehingga kuah sedikit kering.
  5. Akhir sekali, masukkan ubi yang telah digoreng di awal tadi. Gaul hingga rata dan sedia untuk dihidang!

 

Menu-menu ini semua sangat sedap dan sangat mudah untuk disediakan ya. Maduners kena cuba tau!

Post a Comment