Hormat Semangat Padi, Pesta Kaamatan Meriah Setiap Tahun Di Sabah
Bagi penduduk Sabah, pesta ini sudah menjadi antara salah satu pesta yang memang akan disambut besar-besaran selain dari Krismas dan juga Hari Raya Aidilfitri.
Sebenarnya, Pesta Kaamatan atau Tadau Kaamatan ini merupakan sebuah upacara untuk menghormati semangat padi (Bambazon) dan khasnya pesta ini akan disambut oleh Kaum Kadazan-Dusun.
Nama lain bagi semangat padi ini adalah Magavau iaitu bahasa yang digunakan dalam kaum Kadazan-Dusun. Pesta ini akan diadakan selepas musim menuai padi setiap tahun iaitu pada tanggal 30 dan 31 Mei.
Sepanjang perayaan ini, akan ada macam-macam upacara dan juga persembahan-persembahan yang akan dibuat oleh penduduk di sana.
Antaranya adalah tarian Sumazau, pertandingan nyanyian yang dipanggil Sugandoi, pertunjukan bina badan dan yang wajib dan paling dinanti-nantikan adalah Unduk Ngadau!
Unduk Ngadau merupakan sebuah acara pertandingan ratu cantik yang mana setiap daerah di Sabah akan mengadakan pertandingan di peringkat daerah masing-masing untuk mencari ratu yang akan mewakili daerah mereka dan bertanding di peringkat negeri.
Setiap tahun, pastinya setiap daerah akan menghantar wakil yang mempunyai karisma yang tinggi dalam mewakili daerah untuk membawa nilai-nilai baik sebagai seorang ratu dan sekaligus menjadi duta kecil daerah mereka untuk menunjukkan budaya mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
Yang pastinya untuk tahun 2021 ini, ramai yang ternanti-nanti siapakah yang akan memegang takhta Unduk Ngadau 2021.
Pastinya calon-calonnya hebat belaka dan untuk tahu ramalan siapakah yang Fazlan rasa akan memberi saingan hebat dalam Unduk Ngadau tahun ini, jangan lupa nantikan artikel seterusnya!
Sumber Gambar: KDCA Sabah