Influencer China Didenda RM885 Juta Elak Bayar Cukai
Seorang influencer dari China terkenal yang sering membuat penstriman langsung dikenakan denda sebanyak 1.34 bilion yuan (RM885 juta) kerana mengelak dikenakan cukai.
Lapor BBC, Huang Wei yang dikenali sebagai Viya merupakan selebriti internet dengan mempunyai 10 juta pengikut.
View this post on Instagram
Wanita itu menggunakan platform media sosialnya untuk menjual pelbagai produk.
Pihak berkuasa Hangzhou mendakwa Wei cuba menyembunyikan jumlah pendapatan peribadinya termasuk kesalahan berkaitan kewangan lain antara 2019 hingga 2020.
Susulan itu, Wei membuat permohonan maaf menerusi akaun Weibo miliknya.
“Saya menerima hukuman yang dikenakan oleh pihak berkuasa cukai di negara ini,” katanya.
Wanita berusia 36 tahun tersebut menjadi selebriti internet terkenal di China didorong oleh pertumbuhan pesat aktiviti beli belah dalam talian.
Wei dikenali sebagai ‘ratu penstriman langsung’ dan menjual pelbagai produk dari mi sehingga pelancar roket komersial dalam platform beli belah Taobao.
Wei turut tersenarai dalam 100 individu berpengaruh 2021 menerusi majalah Time.
Akhbar The Global Times melaporkan hukuman penalti yang dikenakan merupakan ‘amaran kepada pempengaruh lain’.
Sejak beberapa bulan lalu, China dilihat akan merombak kembali industri tersebut.
China mempunyai industri penstriman langsung terbesar di dunia dengan memiliki lebih 400 juta vlogger di negara itu.
Bulan lalu, pempengaruh dalam talian dilarang mempromosikan barang secara dalam talian dan seramai 88 selebriti diberi ‘amaran’ berhubung kandungan penstriman langsung.