Ingat Uber, Wanita Silap Naik Kereta Mati Ditikam 120 Kali
Samantha Josephson maut akibat ditikam lebih 120 kali selepas dia tersilap naik kereta yang disangka kenderaan perkhidmatan Uber yang dipesan dirinya.
Kejadian yang berlaku pada 28 Mac 2019, dia keluar pada waktu malan bersama rakan dan teman lelakinya.
Menurut Daily Star UK, Samantha sepatutnya sudah tamat belajar untuk mengejar cita-citanya sebagai seorang pengamal undang-undang.
Samantha, 21, yang berasal dari New Jersey adalah pelajar jurusan Sains Politik di Universiti Carolina Selatan.
Beberapa jam kemudian iaitu pada awal pagi 29 Mac, dia memesan perkhidmatan Uber untuk pulang ke rumahnya, sebelum dirakam menaiki sebuah kenderaan.
Tidak lama kemudian, kenderaan perkhidmatan Uber yang sebenarnya ditempah tiba dan selepas melihat Samantha tiada di situ, pemandu itu membatalkan pesanan.
Menyedari Samantha tidak pulang, rakan membuat laporan kehilangannya dan kurang 24 jam kemudian, gadis itu ditemukan dalam keadaan tragis, kira-kira 104 kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat.
Pemeriksaan mendapati dia ditikam lebih 120 kali.
Tikaman yang kuat menembusi tengkorak dan otaknya beberapa kali selain cedera di leher dan muka hingga ke kakinya.
Ia menyebabkan dia kehilangan banyak darah.
Penyiasat merumuskan Samantha secara tidak sengaja masuk ke dalam kereta pembunuhnya yang wanita itu sangkakan perkhidmatan Uber.
Kenderaan sama dilihat di sekitar kawasan itu dan polis mengenal pasti lelaki berkenaan sebagai Nathaniel Rowland.
Pegawai kemudian menjumpai peluntur dan produk pembersih lain di dalam kereta itu serta mendapati terdapat kesan darah di tempat duduk.
Penggeledahan di rumah suspek menemukan lebih banyak alat pembersih dan pisau dengan darah Samantha.
DNA gadis itu juga ditemukan di bawah kuku jarinya dan siasatan polis mendapati Rowland mempunyai rekod jenayah culik sebelum ini.
Kematian Samantha membawa beberapa perubahan undang-undang di Carolina Selatan apabila semua kenderaan perlu mempunyai tanda nama syarikat.