Jangan Panik Bila Anak Perempuan Ada Labial Fusion, Ini Penjelasan Pakar! – Manis Madu
Jangan Panik Bila Anak Perempuan Ada Labial Fusion

Jangan Panik Bila Anak Perempuan Ada Labial Fusion, Ini Penjelasan Pakar!

Faraj melekat atau nama lainnya Labial fusion merupakan masalah biasa pada kanak-kanak perempuan.

Menurut Dr Muhammad Izzat Abdul Razak iaitu Pegawai Perubatan, Kesihatan Wanita dan Kehamilan, masalah ini biasanya berlaku pada kanak-kanak perempuan berusia dua hingga empat tahun.

 

“Masalah faraj melekat dalam kalangan kanak-kanak adalah disebabkan oleh kekurangan hormon estrogen dalam badan kanak-kanak tersebut.

 

“Untuk tiga bulan pertama, hormon estrogen daripada ibu masih ada dalam peredaran darah bayi, sebab itulah kita jarang jumpa pada bayi perempuan. Selepas tiga bulan, hormon itu sudah tidak ada dan akan menyebabkan faraj bercantum maka kelihatan kemaluan sedikit pelik dan seakan-akan tidak normal,” jelas Dr Muhammad Izzat melalui entri Facebook.

 

Jangan panik! Kebiasaannya Labial Fusion ini tidak akan menimbulkan apa-apa masalah.

labial-fusion

Sumber Gambar: www.epainassist.com

“Kalau ada pun kanak-kanak akan mengadu masalah kencing yang mana air kencing berkumpul di belakang tempat melekat tersebut.

 

“Yang merisaukan ibu bapa apabila tengok kemaluan anak mereka lain seperti yang biasa, mereka ingatkan anaknya tak normal,” ujarnya.

 

Parents perlu tahu, kanak-kanak yang tiada masalah kencing tidak memerlukan rawatan.

 

Estrogen yang dihasilkan dari badan sebelum usia sembilan tahun akan menyelesaikan masalah faraj yang bercantum dan ianya akan terbuka sendiri.

 

“Kalau kanak-kanak itu ada masalah, biasanya saya akan guna sejenis krim yang mengandungi estrogen akan disapu pada faraj. Sapu sikit saja guna putik kapas pada garisan melekatnya faraj tu,” jelasnya.

 

Dinasihatkan untuk tidak mengunakan krim tersebut dalam tempoh lebih enam minggu kerana ia akan menyebabkan krim estrogen itu meresap masuk ke dalam saluran darah yang memberi kesan buah dada akan membesar dan juga beberapa kesan sampingan yang lain.

 

“Yang penting, kanak-kanak yang ada masalah ini bukannya tak normal. Mereka adalah perempuan yang mempunyai faraj, cuma bercantum pada awalnya (luaran sahaja) disebabkan oleh perubahan hormon. Jadi, tak perlu risau,” nasihat Dr Muhammad Izzat.

 

Jadi semua parents Maduners jangan panik sekiranya masalah ini berlaku kepada anak-anak anda.

Post a Comment