Jet Ski Terbalik Dipukul Ombak, Pelancong Terkedu Kena Bayar Ganti RM5,000
Seorang pelancong yang menggunakan perkhidmatan jet ski di Pantai Chenang, Langkawi baru-baru ini mendakwa dia diminta membayar RM5, 000 bagi ganti rugi selepas jet ski itu terbalik kerana dipukul ombak.
Pengguna Facebook yang dikenali sebagai Dla Afindi itu berkata, jet ski tersebut dinaiki oleh adiknya.
“Jet ski dorang (adik saya) terbalik sebab ombak kuat. Mujur ada bot nampak je dorang minta tolong.
“Management follow kami utk penalty. Rupa-rupanya dalam borang ada nyatakan kalau jet ski terbalik kena bayar 5k,” tulisnya.
Tambahnya, jumlah itu dinyatakan di dalam borang yang perlu ditandatangani sebelum pengunjung menggunakan perkhidmatan tersebut.
Menurutnya lagi, disebabkan keseronokan dan keterujaan untuk bermain jet ski, dia terlupa untuk membaca terma dan syarat dalam borang yang ditandatanganinya.
Jelasnya lagi, pemilik jet ski kemudiannya meminta ganti rugi RM3, 000 daripadanya, dan akhirnya dia membayar ganti rugi yang tidak dinyatakan.
Dia turut mengingatkan pengunjung lain untuk sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan dengan menyediakan wang lebih.