Kanak-Kanak 10 Tahun Giat Jahit Sut PPE, Terima Sumbangan RM25,000!
Usia baru mencecah 10 tahun namun pengorbanan dan ketekunannya menjahit sut perlindungan diri (PPE) Nur Afia Qistina Zamzuri, 10, sejak lebih setahun lalu khusus untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan meruntun hati ramai pihak, lapor Harian Metro.
Terbaru, Nur Afia Qistina menerima sumbangan wang berjumlah RM25, 000 menerusi Kempen Dana RM1 Juta Harapan Dutch Lady yang dimasukkan ke akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).
Hasnah Hud, 39, ibu kepada Nur Afia Qistina berkata, anaknya memenangi kategori khas melalui peraduan berkenaan apabila keputusannya diumumkan secara rasmi pada 15 Ogos lalu.
“Saya dan Afia tidak pernah mengharap atau meminta sebarang bayaran sejak dia menjahit PPE 16 bulan lalu. Namun, kami sangat gembira apabila usahanya dihargai ramai pihak.
“Penghargaan seperti ini akan memberikan inspirasi kepada Afia untuk terus berbakti. Wang yang dimenangi akan digunakan untuk menyambung pengajian di peringkat pengajian tinggi,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kepis, di sini, semalam.
Hasnah berkata, sehingga kini anak sulung daripada tiga beradik itu masih aktif menjahit PPE secara sukarela dan terbaru pihak Hospital Jempol turut meminta bantuan Nur Afia Qistina.
“Dalam seminggu, pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Pilah akan menghantar 30 hingga 50 PPE untuk dijahit. Pakaian PPE itu kemudian akan diserahkan semula kepada PPD selepas selesai dijahit,” katanya.
Sementara itu, Nur Afia Qistina berkata, dia ikhlas untuk membantu petugas barisan hadapan dan tidak menyangka akan mendapat penghargaan.
“Saya terkejut apabila dimaklumkan memenangi wang berjumlah RM25, 000 yang bakal digunakan untuk menyambung pelajaran saya kelak. Saya bercita-cita mahu menyambung pelajaran dalam bidang rekaan pakaian.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak yang menghargai usaha saya ini,” katanya yang meminati pereka fesyen dan usahawan terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim.