Kanak-Kanak Perempuan Didakwa Dipaksa Mengemis Oleh Ibu Bapa
Video yang menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan mengemis di tepi jalan di sini menjadi tular dan mendapat perhatian pelbagai pihak lapor Tribunnews.
Berdasarkan video yang dimuat naik dalam Instagram, kanak-kanak perempuan yang dianggarkan berusia empat hingga lima tahun itu duduk berseorangan di tepi jalan untuk meminta sedekah.
View this post on Instagram
Keterangan video itu menyatakan, kanak-kanak tersebut akan meminta sedekah dari pagi hingga malam, kadang kala tidak peduli jika cuaca terlalu panas atau hujan.
Menurut seorang pengguna media sosial yang dikenali sebagai Memey, pelbagai pihak menceritakan tentang kanak-kanak perempuan itu selepas dia memuat naik videonya.
“Ada yang memaklumkan kanak-kanak itu dipaksa mengemis oleh ibu bapanya dan jika dia enggan, mereka akan memukulnya, malah ada yang menghantar video dia dipukul oleh ibu bapanya.
“Selain dipukul, kanak-kanak itu juga sering dicucuh dengan puntung rokok dan itu merupakan satu penderaan, maka kanak-kanak tersebut perlu diselamatkan segera,” kata Memey.
Sehubungan itu, pelbagai pihak mendesak pihak berkuasa tempatan tampil segera untuk membantu kanak-kanak tersebut.
Dalam pada itu, polis Banjarmasin memaklumkan mereka sudah menerima laporan mengenai kanak-kanak itu dan siasatan akan dilakukan.