Kanak-Kanak Sindrom Down Teruja, Wajah Hiasi Video Di Billboard Times Square
Seorang kanak-kanak sindrom down dikenali sebagai Isabella Hass, 14, meluahkan rasa teruja apabila terpilih menjadi salah satu daripada 500 wajah yang akan ditampilkan menerusi persembahan video daripada National Down Syndrome Society (NDSS).
“Saya gembira dan saya berjaya,” katanya yang berasal dari Westlake Village, California, Amerika Syarikat (AS).
Menurut laporan, video berdurasi satu jam yang ditayangkan di dua skrin Jumbotron di bandar New York pada Sabtu (19 September) lalu merangkumi beratus-ratus gambar kanak-kanak, remaja serta orang dewasa dari 50 negeri yang menghidapi sindrom down.
View this post on Instagram
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif NDSS, Kandi Pickard berkata, persembahan itu bertujuan mempromosikan nilai dan keadaan individu yang menghidapi sindrom down.
Ia juga selaras dengan acara Buddy Walk menjelang Bulan Kesedaran Sindrom Down pada Oktober depan.
“Video Times Square tahunan dan New York City Buddy Walk adalah acara yang sangat istimewa untuk NDSS, untuk individu dan keluarga yang mengambil bahagian serta untuk seluruh komuniti sindrom down.
“Video ini juga menunjukkan keindahan kepelbagaian dan meraikan kaedah orang yang kita sayangi yang menghidapi sindrom down. Kami sangat gembira kerana semua 50 negeri mempunyai wakil dan orang ramai di seluruh negara boleh menonton video itu di Times Square dan di laman Facebook NDSS,” katanya.
Selain gemar menyertai pertandingan, Isabella turut berkecimpung dalam dunia permodelan, bola keranjang, gimnastik, sorak dan tarian.
Dia juga tampil dalam produksi teater tempatan dan pergi ke kongres untuk berucap bagi pihak yang berkeperluan khas.