‘Karen’ Buat Hal Lagi? Polis Siasat Dua Wanita Warga Asing Tak Pakai Pelitup Muka – Manis Madu
‘Karen’ Buat Hal Lagi Polis Siasat Dua Wanita Warga Asing Tak Pakai Pelitup Muka

‘Karen’ Buat Hal Lagi? Polis Siasat Dua Wanita Warga Asing Tak Pakai Pelitup Muka

Polis membuka kertas siasatan berhubung tindakan dua wanita warga asing tidak memakai pelitup muka di taman KLCC di sini, yang tular di media sosial, lapor Harian Metro.

 

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, ciapan beserta gambar wanita itu dimuat naik di Twitter.

 

“Hasil penelitian ke atas gambar berkenaan menunjukkan wanita bukan warganegara itu sedang berjalan dengan tidak memakai pelitup muka di laluan pejalan kaki taman KLCC.

 

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi membuka satu kertas siasatan mengenai perkara itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

 

Noor Dellhan berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) dan Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

 

Beliau berkata, kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

 

Sehubungan itu, orang ramai, dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tindakan mengikut peruntukan undang-undang akan diambil jika berlaku ketidakpatuhan.

 

Sebelum ini tular di laman Twitter apabila seorang wanita memuat naik gambar dua orang wanita warga asing didakwa berlegar-legar tanpa memakai pelitup muka.

Difahamkan ciapan itu dimuat naik kerana rasa tidak adil tiada sebarang tindakan di ambil kepada warga asing yang tidak mematuhi peraturan sedangkan rakyat tempatan ditegur dan dikenakan denda yang tinggi.

 

Melihat di ruangan komen, ramai netizen bersetuju dengan ciapan wanita tersebut serta turut menanda (tag) Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta tindakan segera diambil.

Post a Comment