Kitar Semula & Dapat Ganjaran, DBKL Rancang Perluas Mesin Kitar Semula – Manis Madu
Kitar Semula & Dapat Ganjaran, DBKL Rancang Perluas Mesin Kitar Semula

Kitar Semula & Dapat Ganjaran, DBKL Rancang Perluas Mesin Kitar Semula

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan mesin kitar semula dikenali ‘Recycling Reverse Vending Machine’ (RRVM) yang memberi ganjaran wang tunai kepada pengguna.

 

Menurut laporan, mesin kitar semula itu memberi ganjaran wang tunai kepada pengguna yang memasukkan barangan kitar semula seperti botol plastik, tin aluminium dan kotak minuman.

 

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, sebagai langkah menjadikan ibu kota bebas sampah, bersih dan indah, RRVM antara usaha dilakukan DBKL bagi mengatasi masalah pembuangan sampah.

 

“Ini satu usaha DBKL untuk menjadikan Kuala Lumpur benar-benar bandar bersih dan bebas daripada sampah.

 

“Mesin ini khas untuk sampah kecil yang boleh dikitar semula terutama selepas kita mengisytiharkan beberapa kawasan sebagai zon bebas sampah,” katanya ketika meninjau pelaksanaan RRVM yang diletakkan di hentian bas berdepan Menara DBKL 2.

 

Mahadi berkata, mesin itu akan mengira sendiri nilai sampah yang dimasukkan dan ganjaran wang tunai akan terus dikreditkan ke dalam akaun bank pengguna.

 

“Saya dapat lihat tadi, satu botol plastik air dinilai lima sen, kita masuk tiga sampah dan jumlahnya 15 sen.

 

“Ganjaran duit ini akan terus masuk ke dalam akaun bank kita, langkah ini bagus bagi mengelak berlakunya kejadian penyeluk saku dan vandalism serta usaha yang selamat untuk mesin ini tidak diganggu,” katanya.

eco-recarga-con-recybot-reverse-vending-machine-01 (1)

Mahadi berkata, dalam tempoh percubaan tiga bulan ini, RRVM akan diletakkan di kawasan tumpuan orang ramai seperti laluan utama menaiki pengangkutan awam, Dataran Merdeka dan Pintasan Saloma.

 

“Kita mempunyai data di lokasi yang sesuai diletakkan mesin ini terutama kawasan tumpuan yang kerap membuang botol plastik dan sampah kecil lain.

 

“Ini antara usaha menjadikan Kuala Lumpur benar-benar bersih dan bebas sampah sekali gus membawa pelabur dan pelancong masuk ke Malaysia, inilah antara perkara penting bagi menjamin bandaraya menjadi mampan,” katanya.

 

Difahamkan, mesin ini mampu menampung sekitar 220 liter sampah kitar semula dan terdapat pengesan jika tong penuh dan akan ditukar kepada yang baru.

Post a Comment