Korbankan Diri, Remaja Lelaki Maut Demi Selamatkan Ibu
Demi menyelamatkan ibunya daripada serangan seorang lelaki bersenjata, seorang remaja lelaki di Britain ditemui maut di kediaman mereka.
Menurut laporan akhbar Metro UK, mangsa sempat dirawat di lokasi kejadian akibat kesan tikaman sekitar jam 9.30 minit malam (waktu tempatan) sebelum dikejarkan ke hospital dan akhirnya disahkan meninggal dunia.
Remaja berusia 15 tahun dikenali sebagai Jakub Szymansk dianggap sebagai ‘wira yang mati berjuang’ untuk keluarga berikutan serangan yang berlaku di Manchester itu.
Ibu kepada remaja berkenaan, Katarzyne Bastek, turut dilaporkan mengalami cedera parah dalam serangan itu namun kini sudah stabil di hospital.
“Remaja berkenaan adalah wira. Semua orang di sini mengenalinya kerana dia seorang yang baik dan menghormati orang. Dia seorang pendiam, namun merupakan pelindung.
“Dia berjuang untuk keluarganya. Dia seorang yang mengagumkan, wira dan harus diingati,” kata seorang rakan mangsa.
Polis dikhabarkan telah menahan seorang suspek lelaki berusia 44 tahun, kira-kira 402.3 kilometer (km) dari lokasi kejadian atas tuduhan membunuh.
Susulan kejadian itu, Ketua Detektif, Inspektor Alicia Smith berkata, serangan itu telah menyebabkan komuniti setempat bersedih kerana ia melibatkan sebuah keluarga.
“Siasatan masih dijalankan dan kami menerima maklumat daripada sesiapa sahaja yang mungkin ada menyaksikan sebarang kejadian,” kata beliau.