Kuil Tempat Sembahyang, Bukan Taman Awam Untuk Riadah! – Manis Madu
Kuil Tempat Sembahyang, Bukan Taman Awam Untuk Riadah!

Kuil Tempat Sembahyang, Bukan Taman Awam Untuk Riadah!

Isu perkauman dan agama merupakan antara perkara yang perlu dijaga sebaiknya supaya tidak menyentuh sensitiviti mana-mana kaum atau agama. 

 

Sebagai warganegara berbilang kaum, wajib untuk kita letakkan rasa hormat menghormati sesama kita meskipun berlainan kaum serta fahaman.

 

Baru-baru ini, seorang pengguna Twitter dikenali sebagai @raffradzuan memuat naik perkongsian meminta agar orang ramai menghormati kawasan penganut Hindu terutamanya di Kuil Sri Subramaniam, Batu Caves.

Ini kerana, keindahan pelbagai warna yang menghiasi 272 anak tangga ke gua batu kapur itu telah menjadi antara tarikan pelancong sehingga disalah guna oleh sesetengah individu.

 

“Selamat pagi kepada masyarakat India, Tamil serta pihak pengurusan Batu Cave, diharap anda peka mengenai isu kawasan kuil bukan tempat untuk mereka melakukan aktiviti joging dan ‘hiking’.

 

“Saya berada di kuil setiap hari ahad untuk sembahyang, semalam saya memang tak boleh terima apabila lihat ramai yang beriadah di kawasan tangga kuil,” tulisnya.

 

Tambah pengguna tersebut, dia sempat menegur seorang wanita yang berada di kaunter pertanyaan sebelah kawasan tangga.

 

“Saya tegur seorang wanita di kaunter dan tanya kenapa ada orang jogging di kawasan kuil dan adakah tiada sebarang tindakan diambil kepada mereka,” katanya.

 

Jelas pengguna itu, wanita berkenaan memaklumkan teguran telah dilakukan kepada individu yang datang ke kawasan kuil semata-mata untuk melakukan aktiviti bersukan tetapi masih ramai yang tidak mempedulikannya.

 

Katanya lagi, pihak pengurusan perlu meletakkan papan tanda larangan agar individu yang hadir lebih peka mengenai kawasan kuil adalah tempat suci untuk sembahyang.

 

“Saya harap perkara ini dapat dihentikan segera dan tidak menjadikan kuil sebagai tempat bersukan dan akan ada papan tanda yang dibuat oleh pihak pengurusan Batu Cave. Ingat, kawasan kuil adalah untuk kami sembahyang,” jelasnya.

 

Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen bersetuju dengan lelaki tersebut dan mengecam tindakan wanita yang menjadikan kawasan kuil sebagai tempat riadah dan bersukan.

Post a Comment