Luang Masa 2 Jam Sehari Berbakti Kepada 100 Ekor Kucing Jalanan
Gadis ini bukanlah figura seni, selebriti mahupun ‘instafamous’ namun apa yang dilakukannya layak mendapat pujian!
Sejak setahun lalu, menjadi rutin harian Nor Izyan Syahida datang bersama ‘buah tangan’ buat peminatnya, iaitu lebih 100 ekor kucing jalanan yang rata-rata dibuang pemilik asal, malah ada yang sakit dan amat memerlukan rawatan.
Bercakap kepada Bernama, ‘self-feeder and rescuer’ (pemberi makanan dan penyelamat persendirian) kucing jalanan Nor Izyan Syahida berkata, kali pertama beliau datang ke lokasi tersebut kira-kira setahun yang lepas sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua kilogram makanan kucing yang dibawanya habis dalam tempoh singkat.
“Ketika itu, saya lihat sendiri bagaimana kucing di sini mencari makanan, ada yang menyelongkar tong sampah di sekitar lokasi ini tetapi makanan tidak ada. Tersentuh melihat perkara tersebut, saya teruskan aktiviti memberi makanan dan minuman kepada kucing di sini sehingga hari ini,” katanya.
Perlu berulang-alik kira-kira 24 kilometer dari kediamannya di Kampung Langgar ke lokasi tersebut, serta meluangkan masa dua jam dalam kehidupan hariannya untuk aktiviti itu, Nor Izyan Syahida tidak kisah asalkan niat membantu mamalia tersebut dapat dicapai.
Menariknya, Nor Izyan Syahida bukan sahaja meluangkan masa untuk memberi makanan, malah graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Dengan Kepujian (Hubungan Antarabangsa) Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini, turut memberi rawatan segera kepada kucing yang memerlukan.
“Selain makanan, setiap kali datang ke sini saya turut membawa ubat-ubatan seperti antibiotik, ubat tahan sakit, vitamin, penggalak imunisasi dan makanan pelengkap.
“Ini kerana ada kucing di sini yang memerlukan rawatan kena menghidapi penyakit seperti selesema, demam, sakit mata, cirit-birit, kurap, penyakit kulat sporotrichosis serta diserang virus parvo. Jika kucing mengalami gejala sakit yang ringan, saya akan rawat terus di sini, namun jika penyakit lebih teruk saya akan bawa pulang seterusnya bawa ke klinik veterinar,” katanya.
Setahun menghulurkan bantuan kepada kucing jalanan, Nor Izyan Syahida terus tekad untuk meneruskan aktiviti tersebut, namun amat mengharapkan masyarakat lebih peka untuk tidak membuang mamalia tersebut.
Sumber Gambar: Nor Izyan Syahida