Makan Mi Segera Kongsi 4 Beranak, Wanita Terpaksa Besarkan Anak Sendirian
Di musim pandemik ini memang sangat ramai yang terkesan dan hilang mata pencarian ekoran penularan wabak Covid-19.
Pasti ada segelintir diantara kita yang mengalami kesukaran hidup sehinggakan ada yang tidak mampu membeli secupak beras lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai tanggungan yang ramai.
Ekoran itu, melihat kepada situasi dan kesusahan masyarakat sekeliling, seorang ibu terpaksa berkongsi mi segera bersama empat orang anaknya yang lain bagi mengelakkan kelaparan.
Menerusi perkongsian yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di laman facebooknya, beliau bersama ahli jawatankuasa yang lain telah pergi ke rumah berkenaan bagi menghulurkan bantuan.
Antara yang terlibat dalam misi bantuan itu termasuklah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Setiausaha MAIWP dan Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP.
Kes yang dilaporkan ini berlaku di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia, semalam.
Melalui perkongsian itu, wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Puan Farah ini difahamkan tinggal bersama 5 orang anaknya yang lain di mana masing-masing berusia dua hingga enam tahun.
Mereka sekeluarga tinggal bersendirian selepas suaminya ditahan pihak polis kerana menagih dadah.
Datuk Dr Zulkifli bagaimanapun meluahkan rasa syukur kerana pihak MAIWP telah meluluskan beberapa skim bantuan kepada keluarga terbabit.
“Alhamdulillah,MAIWP telah luluskan beberapa skim bantuan kepada beliau sekeluarga disamping wang tunai” – Datuk Zulkifli.
“Gembira anak-anaknya dapat merasa susu formula yang lebih sesuai dan berkhasiat. Semoga keluarga Puan Farah terus tabah” – Datuk Zulkifli