Bangga! Anak Malaysia Lakar Sejarah Dipilih Syarikat Tesla Sebagai Jurutera – Manis Madu
Anak Malaysia Lakar Sejarah Dipilih Syarikat Tesla Sebagai Jurutera

Bangga! Anak Malaysia Lakar Sejarah Dipilih Syarikat Tesla Sebagai Jurutera

Menjadi satu kebanggaan buat kita jika melihat rakyat kita menempa nama atau melakar kejayaan di persada antarabangsa. Tidak kira dalam apa jua bidang atau industri.

 

Fakhirah Khairuddin, pelajar lepasan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Putra (Ulul Albab) Terengganu baru-baru ini melakar kisah bersejarah apabila dipilih oleh syarikat gergasi Amerika Syarikat, Tesla untuk bertugas di sana, lapor Astro Awani.

 

Khabar itu dikongsikan Naib Presiden Kumpulan Aerodyne, Richard Ker menerusi laman Facebook pada Ahad sehinggakan ia mendapat perhatian ramai.

Mula bertugas sejak Julai lalu, Fakhirah yang kini menetap di Fremont, California dilaporkan bertugas sebagai pengajar Jurutera Teknik Latihan Robotik di Tesla, mengajar tentang robotik FANUC dan Kuka kepada jurutera dan juruteknik.

 

Menurut perkongsian tersebut, perjalanan kariernya bermula sebaik beliau menamatkan pengajian di MRSM.

 

Beliau melanjutkan pelajaran di Kejuruteraan Aeroangkasa di University of California San Diego dengan tajaan daripada MARA.

 

Fakhirah kemudian mengambil Sarjana dalam Kejuruteraan Mekanikal di University of California (UC), San Diego hasil tajaan daripada pihak UC sendiri.

Antara pencapaiannya sehingga berpeluang mendapat tempat untuk bertugas di syarikat peneraju kereta elektrik dunia dan tenaga bersih di AS itu adalah beliau pernah bekerja sebagai Jurutera 

 

Pembangunan Propulsi di University of California yang mana beliau menulis kod Matlab untuk mengkaji konduksi haba enjin roket.

 

Selain itu, Fakhirah juga pernah menjadi ketua pasukan dan menerajui penyelidikan dan pengembangan Projek Hexacopter bersama University of California, San Diego.

 

Tesla kini menduduki tempat pertama dalam carta syarikat paling menarik untuk memulakan kerjaya bagi pelajar di Amerika Syarikat.

 

Pada 2020, Tesla yang dimiliki oleh jutawan terkenal Elon Musk telah merekodkan jualan tertinggi bagi segmen kereta penumpang berkuasa elektrik dan bateri, merangkumi 16 peratus pasaran plug-in (yang merangkumi hibrid plug-in) dan 23 peratus untuk pasaran elektrik penuh.

Post a Comment