Mangsa Tragedi Hidu Gas Tidak Sempat Konvo, Ibu Bapa Hadir Terima Sijil Secara Anumerta – Manis Madu
Mangsa Tragedi Hidu Gas Tidak Sempat Konvo

Mangsa Tragedi Hidu Gas Tidak Sempat Konvo, Ibu Bapa Hadir Terima Sijil Secara Anumerta

Masih segar di ingatan sekitar September tahun lalu, negara dikejutkan dengan satu kejadian yang mengorbankan tiga sekawan selepas didapati terhidu gas karbon monoksida ketika tidur di dalam kereta.

 

Pada Sabtu lepas, berlangsung majlis konvokesyen mereka yang mengambil jurusan farmasi di Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS. Majlis berkenaan berlangsung dalam keadaan sayu dan pilu mengenangkan tragedi yang menimpa ketiga-tiga mangsa.

Penganugerahan sijil diploma buat Allahyarham Nor Adilah, Sharifah Fariesha serta Ayuni Shazwanie diberikan secara anumerta kepada ahli keluarga. Meskipun berat hati tanpa kehadiran anak-anak di sisi, namun ibu bapa mereka tetap hadir dan berbangga dengan pencapaian tersebut.

Menurut satu-satunya individu yang terselamat dalam tragedi berkenaan, Nor Aqilah mengakui merasa sunyi dan rindu setelah kehilangan rakan-rakan dan juga kembarnya.

 

Dalam pada itu, Puan Hasnida Hassan pula sebak apabila berkongsi tentang Allahyarham Sharifah yang merupakan anak tunggalnya. Meskipun bersedih dan sebak, dia tetap gembira kerana gadis berkenaan banyak meninggalkan kenangan manis.

Ibu serta ayah kepada Allahyarham Ayuni pula menjelaskan bahawa anaknya sangat teruja menanti majlis konvokesyen berkenaan. Malah Allahyarham sempat meminta dua orang kakaknya menyediakan bouquet hadiah bagi meraikan kejayaannya selain turut membeli baju baru sebagai persiapan hari bersejarah itu.

 

Madu doakan semoga keluarga mereka sentiasa tabah dan sabar hadapi kehilangan ini dan semoga mereka semua ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

Post a Comment