Menarik! Rupanya Jenis Darah Boleh Tentukan Personaliti Seseorang
Meneka keperibadian seseorang melalui zodiak mungkin sudah acap kali didengar. Klise katanya. Namun, ‘mengkaji’ keperibadian seseorang juga boleh diteka melalui jenis darah rupanya!
Difahamkan, kepercayaan ini bermula dari budaya orang-orang Jepun. Di sana, jenis darah memberi pengaruh besar terhadap kehidupan, pekerjaan bahkan perjalanan percintaan seseorang.
Kepercayaan ini dipercayai mula wujud sekitar tahun 1930 ketika seorang professor bernama Tokeji Furukawa mengatakan bahawa jenis darah boleh menjelaskan keperibadian seseorang.
Sebuah kajian yang diterbitkan dalam Public Library of Science pada tahun 2015 lalu telah meneliti hubungan antara jenis darah dan keperibadian seseorang.
Personaliti Menerusi Jenis Darah
Walaupun ujian keperibadian jenis darah belum disokong dengan hujah ilmiah yang kuat tapi Maduners boleh ‘menilik’ seseorang menurut jenis darahnya.
Darah A
Individu yang memiliki darah jenis A cenderung memiliki personaliti yang teratur, berfikir secara kritis, bertanggungjawab, konsisten dengan apa yang sudah dirancang, tenang dalam menghadapi masalah dan berusaha adil dalam situasi apa pun. Sayangnya, ada juga personaliti individu darah jenis A yang kurang disukai iaitu sifat keras kepala dan perfectionist.
Mereka yang memiliki darah jenis A ini lebih suka menguruskan pekerjaan yang mereka harus lakukan. Mereka juga jarang merasa ‘ngam’ dengan orang lain dan hanya terbuk menceritakan situasi mereka kepada orang yang paling dipercayai sahaja.
Darah B
Orang yang memiliki darah jenis B pula mempunyai personaliti semangat yang tinggi, aktif, kreatif dan selalu ingin tahu. Mereka selalunya nak tahu banyak benda dan curiosity yang tinggi. Kalau dah tertarik dengan sesuatu hal itu, mereka akan melakukannya dengan sepenuh hati.
Karakter orang jenis darah B ini juga selalu dianggap kurang mempunyai semangat berkumpulan dan lebih suka mengikut aturan dan idea mereka sendiri. Lebih kurang cenderung ke arah bersikap individualis dan lebih mementingkan logik daripada perasaannya.
Darah AB
Haa, nak dibandingkan geng darah jenis yang lain dengan geng darah AB, individu yang memilik darah jenis ini paling susah diramal atau lebih misteri berbanding yang lain. Meskipun karakter mereka berubah-ubah, orang yang berdarah AB ini ada ramai kawan!
Mereka memiliki karakter yang rasional, bertanggungjawab, suka menolong dan mudah menyesuaikan diri dengan suasana. Ibaratnya, kalau campak ke mana-mana pun boleh hidup.
Namun, mereka juga cenderung untuk menjadi seorang yang tidak tegas, mudah lupa dan sensitif. Mereka juga memiliki perasaan yang lembut kerana sifat empati yang tinggi terhadap situasi orang lain. Bahkan, mereka tidak lokek membantu orang lain selagi berkemampuan.
Darah O
Untuk jenis darah yang terakhir ini, individu yang memiliki darah jenis O dikenali dengan sikap yang mudah menyesuaikan diri dengan ‘circle’ baru atau sejenis yang easy-going. Mereka bersifat baik hati, pemurah, bersemangat, terbuka dan menghargai pendapat orang lain sehingga mudah disukai oleh ramai orang.
Sayangnya, orang yang memiliki darah jenis O ini mudah terpengaruh dengan orang lain, cepat hilang fokus, keras kepala dan lebih suka menjadi pengikut berbanding pemimpin.
Begitulah sedikit sebanyak ulasan mengenai personaliti seseorang berdasarkan jenis darah. Kalau Maduners nak tahu tentang jenis personaliti korang dengan lebih tepat, sebaiknya gunakan kaedah lain yang dimiliki oleh disiplin ilmu psikologi. Lebih-lebih yang berkaitan dengan karakter, minat dan bakat yang dimiliki.
Korang juga boleh ke hospital untuk melakukan ujian-ujian personaliti seperti yang dilakukan ahli psikologi. Mungkin hasil ujian akan lebih tepat!