Mimpi Ngeri Para Ibu! Ketahui Tip Elak Sudden Infant Death Syndrome (SIDS)
Pernah tak Maduners dengar istilah Sudden Infant Death Syndrome (SIDS)?
SIDS adalah kematian mendadak yang berlaku pada kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun. Mimpi ngeri buat para ibu bapa!
Punca kematian masih tidak dapat dijelaskan walaupun bedah siasat dan siasatan dilakukan menyeluruh di tempat kejadian.
Untuk pengetahuan Maduners, kira-kira 90 peratus kes SIDS berlaku sebelum usia enam bulan. Paling kerap terjadi dalam kalangan bayi berusia dua dan empat bulan!
Kajian juga menunjukkan 69 peratus kes SIDS berlaku di tempat tidur dan bayi lelaki lebih berisiko mengalaminya berbanding bayi perempuan.
Berdasarkan pelbagai kajian serta semakan rekod bayi yang mengalami SIDS, antara punca kes ini berlaku adalah:
- Tidur dalam posisi meniarap (prone)
- Tidur atas permukaan lembut atau dengan bantal, selimut, atau mainan di atas katil
- Tidur di atas katil atau sofa bersama orang dewasa atau bersama kanak-kanak lain (amalan ini tak digalakkan ya)
- Memakai pakaian terlalu banyak lapis ketika tidur
- Ibu bapa yang merokok atau persekitaran tercemar dengan asap rokok dan vape
Bagi ibu bapa, utamakan keselamatan bayi korang dan Madu sarankan amalkan tips di bawah ini untuk mengelakkan terjadinya SIDS di tempat tidur. Antaranya:
- Gunakan tilam yang rata dengan cadar yang ketat
- Pastikan persekitaran tak terlalu panas
- Bayi tak sepatutnya tidur dalam buaian atau kerusi kenderaan
- Pastikan anak-anak tidur dalam keadaan tak memakai penutup kepala atau topi
- Penting untuk ibu bapa pastikan bayi tidur dalam keadaan terlentang
Maduners boleh amalkan tips ini untuk elakkan daripada berlaku kejadian ngeri ini.