“No Gadget At The Table!” Wanita Kongsi Kesan Buruk Penggunaan Gajet Ketika Makan – Manis Madu
“No Gadget At The Table!” Wanita Kongsi Kesan Buruk Penggunaan Gajet Ketika Makan

“No Gadget At The Table!” Wanita Kongsi Kesan Buruk Penggunaan Gajet Ketika Makan

Perkembangan teknologi di zaman ini yang semakin hari semakin canggih tidak dapat dinafikan telah mempengaruhi gaya hidup masyarakat hampir segenap aspek. Perkembangan ini dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tidak mengira peringkat umur mahupun sosial.

Perkembangan teknologi di zaman ini yang semakin hari semakin canggih tidak dapat dinafikan telah mempengaruhi gaya hidup masyarakat hampir segenap aspek. Perkembangan ini dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tidak mengira peringkat umur mahupun sosial.

Kanak-kanak juga tidak terkecuali daripada menggunakan alat-alat canggih ini seperti telefon pintar dan tablet. Mereka bukan sahaja menggunakannya untuk tujuan pembelajaran malah untuk berhibur dan bersosial.

 

Dampak daripada penggunaan gajet ini, harus diakui ada baik dan buruknya. Ibu bapa adalah figura yang wajib memainkan peranan untuk memastikan anak-anak tidak terlalu obses dan taksub tentang penggunaan gajet agar tidak memberi kesan buruk kepada mereka.

 

Seperti mana perkongsian yang dilakukan oleh seorang wanita di Facebook yang membahaskan mengenai kesan buruk yang akan berlaku sekiranya ibu bapa mengabaikan penggunaan gajet anak-anak dan terutamanya ketika makan bersama keluarga.

Dalam hantaran tersebut juga, Puan Ruqayyah Muhd turut berkongsi caranya mendidik anak-anak agar tidak bermain gajet semasa makan bersama keluarga.

 

“No gadget at the table. Sejak kecil, abu dan ummi saya cukup pantang. Bila waktu makan, ada benda lain yang dihadapkan. Makan sambil tengok tv, makan sambil baca buku dan sekarang makan sambil tengok gajet.”

 

Dia turut berkongsi pemerhatiannya terhadap anak-anak yang kebanyakannya kini disajikan dengan gajet di tangan semasa makan oleh ibu bapa sebagai pemudahcara.

 

“Mata di skrin. Tangan suap makanan. Kadang tumpah bertaburan. Mulut kunyah tapi tak tahu pun apa yang dimakan.”

 

Puan Ruqayyah juga turut meluahkan bahawa terdapat banyak kesan buruk akan berlaku sekiranya membiarkan anak menghadap gajet semasa makan. Salah satunya adalah kepuasan makan itu tidak muncul kerana fikiran dan fokus sudah tertumpu ke arah gajet semata-mata.

 

“Itu yang kejap lagi asyik lapar dan nak cari benda lain lagi. Kita juga akan terbiasa makan berlebihan disebabkan tak puas makan dan tak sedar berapa banyak kita ambil,”

 

Tambahnya lagi, proses penghadaman bukan hanya bermula ketika makanan masuk ke mulut tetapi apa yang kita lihat dan bau juga akan sangat memberi impak kepada apa yang kita ambil. Puan Ruqayyah juga menegaskan bahawa waktu makan sepatutnya menjadi waktu ahli keluarga meluangkan masa bersama selepas seharian sibuk dengan hal masing-masing dan waktu malam juga seharusnya dijadikan waktu berkumpul bersama keluarga di satu tempat.

 

“Masa ni lah nak catch up cerita seharian dalam hidup anak, apa yang anak lalui dan rasai. Kalau masing-masing sibuk dengan telefon, esok lusa anak besar, balik kampung ziarah mak ayah pun sibuk dengan telefon. Makan tak tengok wajah mak yang penat masak makanan kegemaran anak,”

 

Dia juga mengakui bahawa tidak mudah untuk mendidik anak-anak untuk diam di meja makan.

 

“Kami juga ada fasa anak berlari-lari sana sini di kedai makan masa kecil. Boleh faham tahap stres tu. Tapi, kita sebagai ibu ayah yang kena didik anak sebaiknya,”

 

Wanita itu turut menitipkan cadangan kepada ibu bapa agar berfikiran kreatif dengan melakukan aktiviti bersama anak-anak di meja makan seperti bermain permainan kad, membawa buku aktiviti dan buku mewarna sementara menunggu makanan sampai jika makan di luar.

 

“Percayalah, memori makan beramai-ramai masa kecil tu yang paling dikenang dan disebut-sebut bila besar nanti,”

 

Menggunakan gajet memang tidak boleh dielakkan pada zaman ini tetapi pengawasan daripada golongan dewasa perlu dilipat gandakan supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini pada masa akan datang. Cegah sebelum terlambat!

Post a Comment