Pelanggan Bertuah Beli Satu Beg Epal, Dapat ‘Apple’ Sebiji!
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu! Pepatah ini sesuai sangat dengan situasi seorang lelaki yang menerima sebuah telefon pintar selepas membuat pesanan dari pasar raya.
Seorang lelaki di United Kingdom (UK) terkejut apabila menerima sebuah telefon pintar keluaran syarikat Apple Inc. hanya dengan pembelian satu beg buah epal dari pasar raya.
Nick James dikatakan telah memesan satu beg buah epal dari pasar raya Tesco dan ketika mengambil pesanan tersebut, dia mendapati pesanan berkenaan tidak hanya berisi buah seperti dipesan tetapi juga sebuah telefon pintar iPhone SE yang baru!
James pada mulanya menyangka perkara itu hanyalah gurauan (prank) tetapi kemudiannya mendapat tahu bahawa telefon pintar itu adalah sebahagian daripada kempen promosi yang dijalankan oleh Tesco.
Rupanya, syarikat peruncitan multinasional tersebut memberikan barang elektronik percuma seperti iPhone, AirPods keluaran Apple Inc serta peranti Samsung sebagai sebahagian daripada promosi. Untung betul siapa yang dapat!
Para pemenang pula akan dipilih secara rawak dan ternyata James merupakan salah seorang pelanggan yang bertuah itu.