Penjawat Awam Ditahan Polis, Disyaki Mengintai Wanita Di Dalam Tandas
Seorang penjawat awam disyaki mengintai wanita di dalam tandas di sebuah stesen minyak di Jalan Cinta Sayang, di sini, semalam.
Jelas Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, lelaki tersebut berusia 36 tahun itu datang ke balai polis untuk membuat penafian berhubung laporan dibuat wanita berkenaan lalu terus ditahan oleh polis pada jam 5.20 petang semalam.
Beliau berkata, lelaki tersebut ditahan bagi membantu siasatan, dan keterangan yang diberikan suspek agak mecurigakan.
“Suspek tidak mengaku mengintai seperti yang didakwa pengadu tetapi mendakwa masuk ke tandas wanita kerana sakit perut kononnya tandas lelaki berkunci.
“Siasatan juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian saringan awal air kencing mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Adzli berkata lagi, kejadian tersebut belaku pada jam 10.30 malam ketika pengadu iaitu seorang wanita berusia 34 tahun sedang berada di dalam tandas dan dikejutkan dengan ketukan pintu yang amat kuat.
Tersentak dengan kejadian itu, pengadu kemudian bertanyakan kepada anaknya yang berusia empat tahun yang turut berada di dalam tandas tersebut dan anaknya memberitahu ternampak ada orang masuk ke dalam tandas tersebut.
“Pengadu keluar dari tandas dan ternampak seorang lelaki keluar dari tandas bersebelahan. Pengadu bertanya kepada lelaki itu sama ada dia mengintai tetapi lelaki terbabit menafikannya,” katanya.
Berhubung kejadian itu, pengadu kemudian memaklumkan kepada pihak stesen minyak tersebut dan seterusnya membuat laporan polis.
Jelasnya Adzli lagi, kes ini disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.
Sumber: www.astroawani.com, www.hmetro.com.my