Protes ‘Code Black’, MMA Seru Bantuan Rakyat Malaysia – Manis Madu
Protes ‘Code Black’, MMA Seru Bantuan Rakyat Malaysia

Protes ‘Code Black’, MMA Seru Bantuan Rakyat Malaysia

Umum mengetahui baru-baru ini Kempen Bendera Putih yang telah dilancarkan dalam kalangan rakyat Malaysia bertujuan membantu sesama rakyat telah dijalankan dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

 

Selang beberapa hari selepas kempen tersebut berlangsung, media sosial digemparkan sekali lagi dengan gelombang “Code Black”. Apa pula isu berkaitan Code Black?

 

Berdasarkan tinjauan Madu, Code Black merupakan salah satu bentuk tunjuk perasaan disebabkan oleh ‘penindasan’ terhadap pekerja kesihatan dan doktor kontrak.

Menurut New Strait Times, difahamkan, hanya 780 daripada 23,077 doktor kontrak telah diberi jawatan tetap sejak 2016. Selebihnya masih kekal sebagai doktor kontrak hingga kini! 

 

Maduners bayangkan, dari tahun 2016 hingga 2021 masih bekerja sebagai kontrak sedangkan mereka melakukan pekerjaan seperti pekerja tetap.

 

Sehubungan dengan itu, Persatuan Perubatan Malaysia atau Malaysian Medical Association (MMA) meminta agar orang ramai untuk menyokong tunjuk perasaan bagi memperoleh keadilan yang sewajarnya buat mereka.

 

Presiden MMA Professor Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata, banyak perbincangan telah diadakan, surat-surat telah dikirim dan pernyataan telah dibuat namun masih belum ada jawapan yang jelas dan tegas dari pemerintah tentang masa depan mereka.

 

Tambahnya lagi, Code Black merujuk kepada kod kecemasan hospital, yang dipilih untuk mengenalpasti nasib pekerja kontrak di Malaysia dan “berkabung” atas bakat muda yang telah meninggalkan negara ini.

Orang ramai dapat menunjukkan solidariti mereka terhadap protes Code Black melalui pelbagai cara, bermula 1 Julai hingga 12 Julai.

 

“Anda boleh menukar gambar profil peribadi anda menjadi hitam atau monokrom. Anda boleh menukar logo syarikat/institusi anda menjadi hitam atau monokrom.

 

MMA juga katanya, telah mengisytiharkan 12 Julai sebagai Hari Isnin Hitam atau Black Monday.

Oleh itu, beliau menggesa orang ramai untuk memakai pakaian berwarna hitam untuk bekerja dan berkongsi gambar mereka sambil memegang placard yang bertuliskan “We stand with Contract Healthcare Workers” dengan hashtag #saveMYcontractHCW #BlackMondayMY serta #CodeBlackMY.

 

Semoga protes yang dilakukan dapat mendesak pihak berwajib mengubah nasib pekerja kesihatan yang kita sayangi.

Post a Comment