Ramadan Kali Ini Lebih Bermakna Buat Dr Soo Wincci – Manis Madu
Ramadan Kali Ini Lebih Bermakna Buat Dr Soo Wincci

Ramadan Kali Ini Lebih Bermakna Buat Dr Soo Wincci

Setiap kali tiba bulan Ramadan, nama Dr Soo Wincci tidak akan terlepas daripada menjadi sorotan memandangkan beliau tidak pernah gagal untuk turut serta melakukan ibadah itu sejak 12 tahun lalu.

 

Ramadan kali ini ternyata memberi kegembiraan berganda buat Dr Soo Wincci kerana selain dapat menjalani puasa di Malaysia, beliau juga turut melibatkan diri dalam melakukan kerja kebajikan yang biasa dipraktikkan sejak di bangku sekolah.

 

 “Tahun ini, saya rasa sangat teruja kerana dapat menyambut bulan puasa di Malaysia. Suasana berpuasa di sini lebih meriah berbanding ketika saya berpuasa di Sepanyol sebelum ini. Saya juga rasa sangat seronok kerana pada hari pertama puasa tahun ini, saya berpeluang mengikuti aktiviti amal bersama Islamic Relief Malaysia bagi mengagihkan bantuan makanan kepada golongan memerlukan daripada komuniti Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) di Brieckfields, Kuala Lumpur.

2. (1) (1)

“Sudah lama saya rindukan suasana untuk turun padang melakukan kerja-kerja kebajikan memandangkan sejak Covid-19 melanda, gerak kerja kebajikan turut berdepan kekangan dan terbatas pergerakannya.

 

“Jadi, bila ada program sebegini, saya memang tak akan lepaskan peluang untuk turut serta membantu. Melalui program sebegini, saya berpeluang melihat sendiri realiti kehidupan masyarakat juga menyelami permasalahan mereka,” kata Dr Soo Wincci, Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia.

 

Program edaran pek makanan Rezeki Ramadan yang dianjurkan Islamic Relief Malaysia sudah mula dilaksanakan seawal satu minggu sebelum tibanya bulan puasa.

 

Ia selari dengan objektif program itu iaitu untuk meringankan beban golongan memerlukan dalam menyediakan juadah berbuka dan bersahur. 

 

Program bermusim yang menjadi acara tahunan Islamic Relief Malaysia ini dijalankan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak dengan menyasarkan edaran sebanyak 6,000 pek makanan yang akan memberi manfaat kepada lebih 30,000 orang.

 

Antara Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia yang turut hadir menyantuni penerima manfaat bersama Dr Soo Wincci adalah chef selebriti, Imelda Harris.

 

Kempen tajaan pek makanan Rezeki Ramadan dengan slogan #gandakanpahala ini, telah menyasarkan kutipan dana sebanyak RM2,320,000 bagi menyantuni 44,450 penerima manfaat di 32 buah negara termasuk Malaysia menerusi edaran 8,890 pek makanan secara keseluruhan.

 

Antara negara-negara lain yang tersenarai untuk dibantu ialah Bangladesh, Bosnia, Afghanistan, Syria, Palestin, Yaman, Somalia, Nepal dan banyak lagi.

 

Justeru, barisan ikon kemanusiaan Islamic Relief Malaysia seperti Dr Soo Wincci, Chef Imelda Harris, Irma Hasmie, Diana Amir, Elfaeza Ul Haq, Ashraf Muslim dan Saujana bersama selebriti Siti Saleha juga turut bersama-sama dalam kempen Rezeki Ramadan Bersama Ikon & Selebriti bagi membantu kerja-kerja pengumpulan dana bagi menyokong usaha Islamic Relief Malaysia untuk membantu mereka yang memerlukan.

1. (1) (1)

Buat Maduners yang nak turut serta menyumbang, boleh layari laman web:

https://islamicreliefmalaysia.org/order/form/rezekiramadanikon

Post a Comment