Ratu Elizabeth Cari ‘Bibik’, Tawarkan Upah RM43 Sejam – Manis Madu
Ratu Elizabeth Cari ‘Bibik’, Tawarkan Upah RM43 Sejam

Ratu Elizabeth Cari ‘Bibik’, Tawarkan Upah RM43 Sejam

Keluarga Diraja Britain baru-baru ini mengiklankan pencarian pembantu rumah profesional bagi memastikan kediaman pemerintah kerajaan itu berada dalam keadaan terbaik sepanjang masa.

 

Menurut laporan Metro UK, kakitangan baharu itu akan bekerja selama 40 jam seminggu sama ada di Istana Buckingham atau Istana Windsor.

 

Upah yang ditawarkan adalah pada kadar £7.97 sejam (RM 43.88), kurang £1.93 (RM10) berbanding kos sara hidup standard di Britain. Namun, kakitangan akan menerima lokasi penginapan dan makanan yang disediakan oleh pihak istana.

 

Dalam pakej sama, terdapat 15 peratus skim pencen caruman majikan tambah faedah dan 33 hari cuti termasuk cuti umum.

 

“Ini adalah laluan kerjaya dalam hospitaliti yang akan mengembangkan kemahiran dan kepakaran mengemas anda.

 

“Sertai pasukan profesional kami, anda akan membersihkan dan menjaga pelbagai ruang dalaman dan barangan serta memastikan ia dipersembahkan dengan sebaik mungkin,” tulis iklan itu.

 

Calon yang berminat juga tidak perlu mempunyai pengalaman dalam bidang pengurusan kerana majikan iaitu Ratu Elizabeth sendiri lebih berminat dengan pendekatan proaktif dan keupayaan bakal kakitangan untuk menangani cabaran baharu.

 

Orang ramai berpeluang membuat permohonan sehingga 19 Jun ini dan mereka yang berjaya disenarai pendek akan dipanggil untuk sesi temuduga pada bulan Julai.

Post a Comment