Ratu Terjun Negara Lakar Sejarah Baharu Malaysia, Muncul Juara Piala Dunia! – Manis Madu
Ratu Terjun Negara Lakar Sejarah Baharu Malaysia

Ratu Terjun Negara Lakar Sejarah Baharu Malaysia, Muncul Juara Piala Dunia!

Tahniah! Ratu terjun negara, Pandelela Rinong memberi khabar gembira apabila meraih pingat emas acara 10 meter (m) platform individu pada Piala Dunia Terjun FINA di Pusat Akuatik Tokyo, Jepun semalam.

 

Menurut Kosmo! Pandelela, 28, mengumpul 355.70 mata dalam lima terjunan untuk mengunguli acara itu dan menewaskan Matsuri Arai dari Jepun yang terpaksa berpuas hati meraih tempat kedua dengan 342 markah.

 

Pingat gangsa dalam acara itu dimenangi penerjun Kanada, Caeli McKay yang sekadar memungut 338.55 markah.

 

Kejayaan Pandelela itu merupakan satu sejarah baharu buat sukan terjun negara kerana ia adalah pingat emas pertama Malaysia dalam saingan Piala Dunia Terjun sejak penganjuran edisi pertama di Texas, Amerika Syarikat pada 1979.

 

Pencapaian membanggakan itu turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang berbangga Pandelela mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

 

“Kejayaan ini terus menyemarakkan semangat kita sebelum acara terbesar tahun ini (Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Julai depan). Saya sangat berbangga dengan Pandelela,” menurut kenyataan Reezal di laman Twitter peribadinya.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Cheong Jun Hoong tidak perlu kecewa walaupun gagal ke pentas final 10m platform individu apabila terkandas pada pusingan separuh akhir.

 

Ini kerana Jun Hoong sudah mencapai sasaran iaitu melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara berkenaan sewaktu peringkat saringan semalam.

Post a Comment