Salah Dengar Isyarat, Wanita Maut Semasa Terjunan Bungee
Padah jika tersilap langkah! Seorang wanita dipercayai maut akibat tersalah mendengar isyarat semasa melakukan terjunan bungee di sebuah jambatan di Colombia.
Yecenia Morales, 25, dipercayai melompat dari jambatan sepanjang 40 meter di utara Colombia setelah mendengar isyarat “pergi” yang sebenarnya ditujukan untuk teman lelakinya.
Menurut laporan Mirror, ketika kejadian berlaku, kira-kira seramai 100 orang sedang menunggu di jambatan bungee berkenaan.
Yecenia difahamkan bersama teman lelakinya berada di barisan hadapan dan kabel bungee ketika itu masih belum diikat pada pergelangan kakinya sebelum dia melompat sendiri kerana tersalah mendengar isyarat terjun yang sebenarnya diajukan kepada teman lelakinya.
Sebelum pasukan kecemasan tiba, teman lelaki Yecenia berusaha memberikan bantuan pernafasan CPR namun tidak berhasil.
Punca kematian wanita berkenaan dilaporkan akibat serangan jantung ketika melakukan terjunan kerana terkejut.
Yecenia yang tinggal bersama ahli keluarganya dikebumikan selepas upacara di kejiranan Simon Bolivar di Medellin.
Menurut adik mangsa, Andres Morales, dia memberitahu bahawa mangsa merupakan seorang yang ceria, dia juga suka membaca dan menari.
Pihak berkuasa bagaimanapun telah melakukan siasatan setelah dua syarikat yang menawarkan perkhidmatan dan membekalkan peralatan di lokasi tersebut tidak mendapat kebenaran.
Sumber Gambar: Mirror