Sebar Berita Palsu Berkenaan Vaksin, Wanita Disaman RM12,000
Seorang wanita yang menyebarkan video palsu berkenaan vaksin pada Mei tahun lepas telah didenda RM12,000 oleh Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur semalam.
Hakim M. M Edwin Paramjothy telah menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Tengku Noor Azlin Wa Kembang Tengku Azizan, 46 selepas dia mengaku bersalah atas perbuatannya.
Pengakuan tersebut dicatat sebagai menyebarkan video dengan fakta palsu berkenaan vaksin dengan niat mencetuskan kebimbangan awam menerusi laman media sosial Facebook.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudian menetapkan denda berjumlah RM12, 000 dan sekiranya tertuduh gagal membayar denda, beliau boleh dipenjara 6 bulan.
Tengku Noor Azlin telah membayar denda berkenaan.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan hukuman dengan alasan tidak bekerja dan hanya merupakan seorang suri rumah.
Bagaimanapun, pengarah pendakwaan negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datin Kalmizah Salleh memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadapnya atas tindakannya yang mencetuskan kerisauan awam terhadap keberkesanan vaksin.