Selamat Tinggal Kuku Paling Panjang Di Dunia! Wanita Akhirnya Potong Kukunya
Seorang wanita dikenali sebagai Ayanna Williams mendapat pengiktirafan daripada Guinness World Records kerana memiliki kuku paling panjang di dunia pada kedua-dua belah tangannya pada 26 Mac 2021 baru-baru ini.
Menurut laporan Guinness World Records, panjang kesemua kuku pada jari tangan kanan Ayanna adalah 338.5 sentimeter manakala jumlah panjang kuku pada jari tangan kirinya pula mencecah 395.05 sentimeter. Jika digabungkan kedua-duanya, panjang kuku beliau adalah 733.55 sentimeter (24 kaki 0.7 inci).
Untuk info Maduners, Ayanna juga pernah memegang rekod ini pada tahun 2017 dengan jumlah panjang kukunya 576.4 sentimeter.
Namun begitu, Ayanna dikhabarkan telah pergi ke sebuah klinik dermatologi di Forth Worth, Texas untuk memotong aset berharganya itu selepas 28 tahun menyimpannya!
Lebih mengejutkan, itu adalah kali pertama Ayanna memotong kukunya semenjak awal tahun 1990-an.
Menurut Ayanna, dia menghadapi kesukaran untuk melakukan beberapa aktiviti seperti membasuh pinggan dan memasang cadar pada katil kerana mempunyai kuku yang sangat panjang.
“Saya perlu sangat, sangat berhati-hati dengan segala pergerakan saya semasa mempunyai kuku panjang. Kini, saya teruja untuk memotongnya sebagai tanda permulaan baru,” katanya
Selain itu, wanita itu juga berkongsi bahawa dia memerlukan tiga hingga empat botol pewarna kuku dan mengambil masa beberapa hari untuk selesai mewarnakan asetnya.
Sementara itu, aset Ayanna yang sudah dipotong akan dipamerkan di Ripley’s Believe It or Not! Museum di Orlando Florida.
Sebelum ini, Guinness World Records juga pernah mengiktiraf seorang wanita bernama Lee Redmond bagi kategori sama namun Lee kehilangan asetnya selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada tahun 2009. Wanita tersebut dilaporkan telah menyimpan kukunya yang sepanjang 28 kaki semenjak tahun 1979.