Selepas Eropah, Indonesia Pula Hentikan Penjualan Kinder Joy Egg
Badan Pemantau Ubat dan Makanan Indonesia (BPOM) membuat keputusan untuk menghentikan sementara penjualan produk coklat berbentuk telur jenama Kinder atau dikenali sebagai Kinder Egg.
Keputusan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga terhadap risiko pencemaran bakteria Salmonella.
Setakat ini, tiada kes keracunan akibat coklat tersebut dilaporkan di Indonesia, namun beberapa negara Eropah sudah pun menarik balik penjualan makanan ringan itu susulan kes pencemaran Salmonella.
“BPOM akan menghentikan sementara pengedaran coklat Kinder Egg sehingga isu pencemaran bakteria Salmonella selesai.
“Biarpun kebanyakan kes berlaku di Eropah, namun Indonesia tetap mahu mengambil langkah berjaga-jaga,” menurut kenyataan BPOM yang dipetik Kompas.com.
Selain itu, badan itu juga akan melakukan persampelan secara rawak dan ujian di seluruh negara terhadap produk Kinder yang berdaftar.
BPOM turut menasihatkan orang ramai supaya membuat laporan kepada mereka sekiranya menemukan produk coklat Kinder yang tidak berdaftar dengan Unit Pengaduan Pengguna di seluruh negara.
Jelasnya, pengguna perlu bijak ketika membuat pembelian dan tidak mudah terpengaruh dengan isu tersebar.
Pada 2 April lalu, Agensi Piawaian Makanan United Kingdom menarik balik pengedaran coklat tersebut selepas dicemari dengan Salmonella.
Bakteria itu boleh menimbulkan gejala seperti cirit-birit, demam dan sakit perut.