Squid Game Terima Kritikan, Didakwa Terlampau Ganas Untuk Kanak-kanak!
Seminggu dua ini kecoh di hampir seluruh media sosial tentang drama bersiri Korea, Squid Game yang ditayangkan di saluran penstriman digital berbayar, Netflix.
Para penonton yang sudah menonton drama itu berlumba-lumba menceritakan keseronokan dan keasyikan drama berkenaan di platform masing-masing.
Namun menurut The Herald baru-baru ini, drama bersiri berkenaan mula mendapat maklum balas negatif serta mengundang kecaman penonton kerana didakwa sarat dengan adegan ‘berdarah dan kejam’.
Meskipun drama bersiri sembilan episod itu menduduki kedudukan pertama dalam carta Netflix dalam tempoh empat hari di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), adegan seperti watak yang ditembak di kepala serta pengambilan organ tidak sesuai ditayangkan kepada khalayak umum.
Penonton melahirkan kebimbangan berikutan aksi keganasan yang berlebihan ditayangkan dan ramai mengesyorkan drama itu dilarang bagi penonton berusia di bawah 20 tahun kerana ‘terlalu mengaibkan’.
Netflix juga menerima kutukan terhadap drama yang ditayangkan kerana mengandungi unsur ‘soft porn’ termasuk menghalalkan penculikan, keganasan serta kekejaman yang semuanya dipromosikan di platform tersebut.
Squid Game mengisahkan tentang permainan tradisional warga Korea Selatan yang disertai individu yang mempunyai masalah dalam hidup seperti lambakan hutang dan gangguan emosi.
Mereka dijemput menyertai permainan kanak-kanak yang akhirnya meragut nyawa demi mengejar kemenangan 45.6 bilion won (RM 161 juta).
Dalam setiap episod, setiap pemenang akan mara ke pusingan seterusnya, manakala, watak yang tewas akan ditembak mati oleh skuad bertopeng.
Episod akhir drama arahan Hwang Dong-hyuk menyaksikan, watak utama akan beradu antara satu sama lain dan Gi-hun ditugaskan membunuh kawan rapatnya demi memenangi hadiah utama mencecah ratusan juta itu.
Sumber Gambar: Squid Game