Straw Boleh Dimakan, Sokong Kempen Selamatkan Penyu
Penggunaan penyedut minuman plastik antara yang menjadi tumpuan utama selepas beberapa kejadian haiwan lautan yang terkena tempias akibat penggunaannya. Misalnya kejadian seekor penyu yang tercucuk penyedut minuman di hidungnya hingga berdarah-darah.
Pihak kerajaan juga sudah menjalankan kempen bagi mengatasi masalah ini seperti mengharamkan penggunaan penyedut minuman plastik di kedai-kedai namun lama kelamaan kempen itu tenggelam timbul dan sepertinya sudah tidak terpakai lagi.
Rentetan daripada kempen itu, memang kita boleh lihat terdapat inisiatif lain seperti penggunaan penyedut minuman kertas atau besi digunakan oleh kebanyakan orang. Namun, ia juga semakin berkurangan kerana leceh untuk mencuci serta membawanya ke mana-mana.
Beberapa bulan lalu, terdapat pihak kembali mencari alternatif lain bagi menyokong kempen selamatkan bumi dan alam sekitar dengan cara mengeluarkan penyedut minuman yang boleh dimakan!
Untuk pengetahuan Maduners, penyedut minuman yang boleh dimakan seperti ini sudah pernah dihasilkan suatu ketika dulu tetapi kurang mendapat sambutan.
Maka kali ini, penyedut minuman boleh dimakan ini sekali lagi ditularkan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia tentang bahayanya penggunaan plastik.
Penyedut minuman boleh ini diperbuat daripada bahan organik seperti ubi dan beras. Haa, seronok juga kan lepas habis minum Maduners boleh makan penyedut minuman itu sekali!
Menariknya, penyedut minuman jenis ini tidak akan mengubah rasa pada air korang serta mampu bertahan dalam minuman selama beberapa jam berbanding penyedut minuman kertas yang akan bertukar lembik setelah beberapa kali sedutan. Sangat praktikal!
Lepas ini, tiada alasan lagi untuk kita tetap degil nak gunakan penyedut minuman plastik. Meskipun kita masih belum mampu hidup tanpa plastik, sekurang-kurangnya langkah ini boleh dikira sebagai langkah awal kepada perubahan yang lebih besar pada masa akan datang.
Sumber Gambar: Rice Straws, Coffee Bean & Tea Leaf