Takut Terpaksa Lahir Anak Di Penjara Israel, Wanita Palestin Rayu Campur Tangan Antarabangsa – Manis Madu
Anhar Al-Deek Dibebaskan, Boleh Lahirkan Anak Luar Penjara Israel!srael, Wanita Palestin Rayu Campur Tangan Antarabangsa

Takut Terpaksa Lahir Anak Di Penjara Israel, Wanita Palestin Rayu Campur Tangan Antarabangsa

Keluarga seorang wanita Palestin yang hamil dan ditahan di penjara Israel merayu campur tangan antarabangsa untuk membebaskan wanita itu supaya dia boleh melahirkan bayinya di luar penjara, lapor agensi berita Anadolu baru-baru ini.

 

Anhar al-Deek, 25, menulis surat dari penjara yang dikirim menerusi seorang lagi tahanan wanita yang dibebaskan baru-baru ini untuk memohon bantuan kumpulan hak asasi manusia bagi membebaskannya.

 

“Apa yang perlu saya buat sekiranya saya terpaksa melahirkan anak dengan keadaan berjauhan dari keluarga?

 

“Saya digari dan anda tahu bagaimana sukarnya untuk bersalin secara pembedahan di luar penjara. Bagaimana saya perlu harungi keadaan ini ketika saya berada di dalam penjara keseorangan?” tulis Anhar dalam surat tersebut.

Wanita itu turut memberitahu bahawa pihak berkuasa penjara Israel akan mengurungnya berasingan dengan bayinya selepas bersalin bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

 

Menurut ibu Anhar, Aisha, anaknya ditahan tentera Israel kira-kira lima bulan lepas kerana dituduh cuba melakukan serangan tikaman di sebuah kawasan penempatan haram Israel dekat pekan yang menjadi tempat tinggal mereka.

 

“Dia memberitahu kami bahawa dia dibelasah oleh tentera Israel beberapa kali ketika ditangkap walaupun dia menjerit memberitahu bahawa dia sedang hamil,” katanya.

 

Wanita itu kemudiannya dibawa ke Penjara HaSharon di mana dia disoal siasat dengan lama dalam keadaan tangannya digari.

 

Mahkamah Israel turut tidak meluluskan rayuan keluarganya untuk membebaska mangsa serta tidak mengendahkan keadaan Anhar yang hamil dan mengalami beberapa komplikasi.

 

Aisha menambah, keluarganya telah membawa perkara itu kepada beberapa organisasi hak asasi manusia dan kedutaan luar bagi memberi tekanan kepada pihak berkuasa Israel untuk membenarkan Anhar melahirkan anak di luar penjara.

 

Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Tahanan Pertubuhan Pembebasan Palestin, Qadri Abu Bakr meminta campur tangan antarabangsa untuk menghentikan penahanan ‘tidak berperikemanusiaan’ wanita hamil Palestin oleh Israel.

Post a Comment