Wanita Nampak Kamera Tersembunyi Dalam Tandas, Suspek Lelaki Berusia 41 Tahun Ditahan – Manis Madu
Wanita Nampak Kamera Tersembunyi Dalam Tandas

Wanita Nampak Kamera Tersembunyi Dalam Tandas, Suspek Lelaki Berusia 41 Tahun Ditahan

Gangguan seksual acapkali kita dengar berlaku terhadap wanita. Gangguan ini juga berlaku tidak mengira tempat dan waktu. Wanita berhadapan dengan gangguan seksual samada di rumah, tempat kerja, tempat belajar malah di tempat awam!

 

Baru-baru ini, polis daerah Gombak menahan seorang lelaki yang merupakan pekerja di sebuah kilang di Taman Perindustrian Batu Caves selepas disyaki meletakkan kamera tersembunyi berbentuk pen dalam tandas wanita.

Menurut laporan BHOnline, suspek berusia 41 tahun itu dipercayai melakukan perbuatan keji itu sejak awal bulan ini lagi bagi tujuan rakaman video.

 

Menurut Asisten Komisioner Arifai Tarawe, kejadian itu disedari seorang wanita berusia 27 tahun yang bekerja di kilang sama yang secara tidak sengaja ternampak kamera tersembunyi berbentuk pen berwarna hitam di bawah sinki dalam tandas.

 

“Wanita berkenaan kemudian mengambil kamera yang dijumpai dan membawa pulang ke rumah untuk memeriksa sebelum mendapati terdapat beberapa rakaman video jelas ternampak kemaluan dan mukanya serta beberapa rakan sekerjanya yang lain.

 

“Dia mengesyaki pen itu adalah milik seorang pekerja dikenalinya kerana terdapat paparan muka pelaku itu di dalam video ketika dia sedang meletak dan mengambil kamera,” katanya dalam sebuah kenyataan.

 

Wanita terbabit kemudian memaklumkan kejadian itu kepada majikannya untuk tindakan lanjut sebelum membuat laporan polis.

 

“Suspek kini ditahan pada 26 Mac lalu pada jam 11 pagi di kilang berkenaan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

 

“Siasatan dijalankan di bawah seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan suspek ditahan reman selama empat hari bagi siasatan lanjut,” katanya sambil menambah polis turut merampas pen berkenaan serta satu keping kad memori.

Post a Comment