Wanita Sanggup Bayar RM24,707 Untuk Bunuh Ibu Mertua Semata Mahu Berbaik Dengan Bekas Suami?
New York Post melaporkan, seorang wanita sanggup mengupah pembunuh upahan untuk membunuh ibu mertua serta anak tirinya dalam rancangan pelik untuk ‘berdamai’ dengan bekas suaminya.
Wanita bernama Elsy Rodriguez Garcia telah dihadapkan ke mahkamah Khamis lalu selepas mengaku bersalah atas tuduhan konspirasi peringkat kedua merancang pembunuhan. Tuduhan itu membolehkannya menerima hukuman penjara dua hingga enam tahun.
“Ini adalah kes yang mengejutkan,” kata Peguam Daerah Suffolk County, Timothy Sini.
“Niat tertuduh sangat jelas, dia mahu orang ini dibunuh dan dia bersedia membayarnya (pembunuh upahan).”
Lebih mengejutkan, bukan hanya ibu mertuanya namun anak perempuan bekas suaminya turut berada dalam senarai sasarannya.
Menurut pendakwa raya, Rodriguez-Garcia dikatakan cemburu melihat bekas suaminya menghabiskan masa bersama ibu serta anak perempuannya lalu merancang untuk ‘menyingkirkan’ mereka supaya dapat kembali ke pangkuan lelaki berkenaan.
Pada Julai 2019, Rodriguez-Garcia merancang konspirasi melalui aplikasi WhatsApp dengan meminta rakannya mengupah pembunuh untuk membunuh ibu serta anak perempuan bekas suaminya ketika mereka dalam lawatan ke Ecuador.
Rancangannya supaya pembunuhan itu kelihatan seperti rompakan namun gagal kerana bekas suaminya menyedari rancangan itu dan segera memaklumkannya kepada Jabatan Polis Daerah Suffolk.
Pegawai penyiasat dan polis menahan rakan konspirasi wanita itu dan mengarahkannya untuk berpura-pura kononnya pembunuh upahan itu sudah membunuh ibu serta anak bekas suaminya.
Selepas menerima gambar palsu pembunuhan itu, Rodriguez-Garcia bersetuju memasukkan AS$6,000 (RM24,707) sebelum dia ditangkap keesokan harinya.
Dia dijadualkan dijatuhi hukuman pada 15 April.