4,186 Doktor Kontrak Diserap Jawatan Tetap, Siri Mogok Kedua Sedang Dirancang? – Manis Madu
4,186 Doktor Kontrak Diserap Jawatan Tetap, Siri Mogok Kedua Sedang Dirancang

4,186 Doktor Kontrak Diserap Jawatan Tetap, Siri Mogok Kedua Sedang Dirancang?

Sejumlah 4,186 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi berstatus kontrak boleh diperakukan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk pelantikan secara tetap, lapor akhbar Utusan Malaysia.

 

Menurut Kementerian Kesihatan, mereka telah menilai jumlah yang merupakan sebahagian daripada 10,583 pegawai yang telah tamat tempoh khidmat wajib. Ia melibatkan seramai 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 pegawai farmasi.

 

“Seperti dimaklumkan sebelum ini, sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi merangka penyelesaian jangka panjang berhubung isu doktor kontrak.

 

“Jawatankuasa ini sedang meneliti keperluan bagi pindaan kepada beberapa akta yang berkaitan, termasuklah Akta Perubatan 1971 dan Akta Pergigian 1971,” kata kementerian tersebut.

 

Jelas kementerian itu lagi, sebagai penyelesaian segera kepada isu doktor kontrak, kerajaan menerusi pembentangan Bajet 2022 bersetuju untuk menyambung pelantikan secara kontrak pegawai perubatan, pergigian dan farmasi.

 

Sebagai tambahan, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM100 juta sebagai penajaan pengajian kepakaran bagi 3,000 pegawai perubatan dan pergigian kontrak.

 

Selain itu, pihaknya juga akan mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan dari semasa ke semasa agar isu doktor kontrak dapat ditangani secara berhemah.

 

Mengulas isu ketiadaan unjuran bagi keperluan doktor di negara ini sebagaimana dibangkitkan jurucakap Gerakan Doktor Hartal, kementerian berkenaan berkata, pihaknya mempunyai unjuran keperluan doktor di dalam negara yang disediakan mengikut Rancangan Malaysia lima tahun.

 

Sebagai contoh, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan menetapkan sasaran nisbah doktor kepada penduduk iaitu 1:400 pada tahun 2025 berbanding 1:450 dalam RMK-11.

 

Terdahulu, Gerakan Hartal Doktor Kontrak mempersoalkan langkah kerajaan yang baru mahu membuat unjuran jumlah doktor kontrak yang perlu diserap ke perkhidmatan tetap sedangkan isu berkenaan sudah berlarutan lima tahun lalu. 

 

Jurucakap gerakan itu, Dr. Mustapha Kamal A. Aziz berkata, ketiadaan unjuran dalam tempoh lima tahun sebelum ini mencetuskan persoalan sama ada kerajaan benar-benar serius dalam menangani masalah itu atau sebaliknya.

 

Gerakan itu juga merancang untuk memulakan siri mogok kedua di seluruh negara sebagai bantahan berikutan pembentangan Bajet 2022 baru-baru ini yang tidak menyebut mengenai lantikan tetap kumpulan itu ke dalam kerajaan seperti diharapkan.

Post a Comment