Covid-19 Di China Kembali Buruk, Kluster Nanjing Akibatkan Jangkitan Ke Bandar Lain!
Situasi Covid-19 di China kembali memburuk apabila lapangan terbang di wilayah Jiangsu, Nanjing dipercayai telah mengakibatkan jangkitan di 15 bandar hanya dalam seminggu, lapor SCMP.
Penyebaran ini dipercayai berpunca oleh varian Delta yang sedang menular dan terkini telah melanda hampir 132 negara menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), minggu ini.
Wabak ini juga dilaporkan telah menjangkiti lebih dari 200 orang termasuk sekurang-kurangnya 30 orang di 15 bandar lain.
Kluster Nanjing mula menggila minggu lalu apabila beberapa orang tukang cuci di Lapangan Terbang Antarabangsa Lukou di bandar itu mula terjejas.
Pakar kesihatan awam mempercayai wabak tersebut masih di peringkat awal namun lebih banyak pengawasan diperlukan bagi mengetahui jika terdapat lebih banyak kes berkait dengan lapangan terbang dan mengenalpasti adakah langkah-langkah kawalan yang lebih ketat diperlukan.
Pengurusan yang tidak efektif dikatakan telah menjadi punca berlakunya wabak tersebut dan ia juga dikatakan berkait rapat dengan penerbangan kargo antarabangsa lebih dari dua minggu lalu.
Sembilan tukang cuci lapangan terbang diuji positif pada 20 Julai semasa menjalani ujian calitan. Sekurang-kurangnya 173 orang di Nanjing telah dijangkiti termasuk lebih daripada 60 tukang cuci, menurut pihak berkuasa kesihatan bandar.
“Lapangan terbang menghadapi masalah seperti pengawasan yang buruk dan pengurusan yang tidak profesional, langkah-langkah pencegahan dan kawalan tidak dilaksanakan dengan berkesan,” kata Suruhanjaya Pemeriksaan Disiplin, badan antirasuah tertinggi China.
Pang Xinghuo, wakil pengarah Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Beijing, meminta penduduk agar tidak meninggalkan ibu kota.
“Kami menasihati orang ramai untuk mengurangkan perjalanan di luar ibu kota dalam waktu dekat, dengan lebih fokus pada pinggir bandar dan perjalanan pendek dan sederhana ke luar, di kawasan terbuka yang kurang sesak, taman negara dan hanya dengan keluarga,” tambah Pang.