Thailand, Australia ‘Bernafas Kembali’ – Manis Madu
Thailand, Australia ‘Bernafas Kembali’

Thailand, Australia ‘Bernafas Kembali’

Pelancong antarabangsa dijangka mula membanjiri Bangkok dan beberapa pulau peranginan di negara ini susulan Thailand membuka pintu sempadannya selepas 18 bulan ditutup akibat Covid-19.

 

Pandemik Covid-19 menjejaskan sektor pelancongan negara ini yang merupakan antara penyumbang terbesar ekonomi Thailand, menyaksikan kemasukan pelancong asing menyusut lebih 80 peratus.

 

Pihak berkuasa Thailand memberi lampu hijau kepada pelancong dari lebih 60 negara yang dikategorikan sebagai risiko rendah Covid-19 untuk masuk ke negara tanpa menjalani kuarantin.

 

Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan terminal antarabangsa lapangan terbang Phuket menerima kedatangan pelancong buat pertama kali pada pagi semalam.

 

Kehadiran mereka disambut mesra oleh petugas kedua-dua lapangan terbang yang lengkap berpakaian perlindungan (PPE).

 

Seorang pelancong dari Jerman, Andre Winkler, memberitahu, dia berasa seronok kerana dapat kembali ke Bangkok.

 

“Kebiasaannya, kami menghabiskan masa selama enam bulan di Bangkok setiap tahun kerana di Jerman musim sejuk dan kali terakhir kami datang ke Thailand adalah pada 2019,” katanya.

 

Dalam pada itu, Australia juga membuka pintu sempadan kepada rakyatnya yang tinggal di luar negara buat pertama kali selepas hampir 600 hari ditutup kerana wabak Covid-19.

 

Peluang itu menyaksikan lebih jutaan penduduk Australia yang tinggal di luar negara boleh masuk ke negara ini tanpa menggunakan permit atau menjalani kuarantin ketika ketibaan.

 

Jadual penerbangan ketika ini padat dengan rakyat Australia, penduduk tetap dan keluarga terdekat.

 

Namun, pihak berkuasa Australia merancang untuk membuka pintu sempadan bagi pelancong asing dalam masa terdekat.

Post a Comment