Konon Anak Tiada Kesedaran Belajar, Guru Minta Ibu Jangan Hantar Anak Ke Tadika
Tular di media sosial Facebook baru-baru ini apabila seorang wanita mengadu anaknya dikatakan tidak normal dan tidak mempunyai kesedaran untuk belajar oleh seorang pendidik iaitu guru tadika yang dihadiri anaknya.
Melalui perkongsian Puan Sofia Hussien, anaknya yang baru berusia 5 tahun itu dikatakan sering menangis di dalam kelas dan telah mengganggu sesi pembelajaran dan pengajaran dengan anak-anak murid yang lain.
Kata wanita itu, memang dia ada mengajar anaknya dengan pendidikan asas sebelum ke sekolah yang dipercayai sebuah tadika perpaduan.
“Bukan saya tak ajar kat rumah, ajar ikut cara saya la. Anak saya tak pandai baca macam budak 5 tahun yang lain, tak layak ke nak masuk tabika perpaduan ni,” luah wanita tersebut.
Dalam tangkap layar perbualan antara wanita itu dengan guru tadika berkenaan, anaknya dikatakan sering merengek dan dilihat tidak berminat untuk ke sekolah.
Menjengah ke ruangan komen hantaran tersebut, ramai warga maya meluahkan rasa tidak puas hati dengan cara cikgu berkenaan mengajar anak-anak muridnya di dalam kelas.
Ada juga yang berpendapat. adalah normal untuk kanak-kanak berusia 4-5 tahun menangis ketika di awal sesi persekolahan kerana masih belum terbiasa dengan suasana baru.