Hotel Dalam Kapal Terbang? Kena Pakai 20 Enjin Berkuasa Nuklear Untuk Diterbangkan!
Satu rakaman video yang memaparkan rekaan pesawat gergasi yang diberi nama ‘hotel terbang’ difahamkan boleh membawa sehingga 5,00 penumpang dalam satu masa telah berjaya mencuri perhatian netizen.
Menurut laporan akhbar Daily Star, hotel yang beroperasi dalam kapal terbang ini dinamakan Sky Cruise dan mempunyai 20 enjin berkuasa nuklear!
Pengendaliannya pula menggunakan teknologi kepintaran buatan (AI) serta direka untuk tidak mendarat.
Penumpang yang ingin menaiki Sky Cruise akan dibawa oleh pesawat konvensional manakal semua kerja pembaikan akan dijalankkan ketika pesawat mega itu berada di ruang udara!
Hashem Alghaili, pereka prototaip pesawat gergasi itu berkata, Sky Cruise akan menjadi pengangkutan masa depan dunia.
Ketika ditanya tentang jumlah juruterbang yang diperlukan untuk mengemudi pesawat berkenaan, beliau bertanya kembali, “Ketika adanya teknologi canggih sebegini, anda masih mahukan juruterbang? Sky Cruise akan berfungsi secara automatik,”
Beberapa kemudahan lain yang akan disediakan dalam pesawat tersebut termasuklah pusat membeli-belah, gimnasium, pawagam dan kolam mandi turut dipaparkan dalam video promosi berkenaan.
Walau bagaimanapun, rekaan pesawat itu mendapat kritikan segelintir pihak yang mendakwa bahawa jika pesawat dijana reaktor nuklear itu terhempas, ia pasti mampu memusnahkan sebuah bandar.
“Idea yang ‘bagus’ untuk meletakkan reaktor nuklear pada sesuatu yang boleh rosak dan jatuh dari langit,” salah satu kata sinis seorang netizen.