Dera Anak Angkat Kerana Enggan Makan? Netizen Sifatkan Alasan Tak Masuk Akal!
Kecoh sebelum ini mengenai video tular yang memaparkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun didera menggunakan batang penyapu dan penyangkut baju oleh seorang wanita dipercayai ibu angkatnya hanya kerana enggan makan.
Susulan itu, sepasang suami isteri ditahan dan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi, lapor akhbar Sinar Harian.
Pelaku yang merupakan pengasas kosmetik, Amira Hamzah, manakala suaminya, pemandu lori, Muhammad Fitri Jasmani Josmani, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah.
Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana mengalami masalah kewangan sejak tahun lalu.
“Kami minta maaf, tiada niat untuk mendera, kami cuma pukul sebab nak pastikan dia makan, kami takut dia mengalami masalah kurang zat makanan,” kata Amira.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid memohon agar mahkamah menjatuhi hukuman denda dan penjara maksimum sebagai pengajaran kepada kedua-dua tertuduh.
“Kanak-kanak itu masih kecil tapi mereka menggunakan alasan memukul hanya kerana isu remeh iaitu enggan makan nasi,” ujarnya.
Menurutnya, tertuduh sebagai penjaga didapati melakukan perbuatan yang zalim sehingga menyebabkan kecederaan di badan, tangan dan kaki mangsa, malah ia berterusan sejak April lalu.