Bakal Diangkat Sebagai Ikon, Sugu Pavithra Rasa Diri Tidak Layak
Sugu Pavithra sekelip mata menjadi bualan hangat ramai dan kini dikatakan bakal diangkat menjadi Ikon Wanita dan Masakan negeri Perak.
Menurut laporan Sinar Harian, kerajaan Perak melalui Jabatan Pembangunan Wanita bercadang untuk mengangkat Pavithra sebagai ikon Wanita dan Masakan Perak.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata dalam temubual bersama Sinar Harian, kisah Pavithra layak dijadikan inspirasi buat semua wanita di luar sana kerana kecekalan Pavithra membina kerjaya melalui minat dan kemahiran masakan yang dimilikinya.
Ibu kepada dua cahaya mata itu akan menjadi tetamu dalam sebuah program di bawah jabatan tersebut bagi memperkenalkan bakat-bakat wanita menerusi media sosial tidak lama lagi.
Pavithra menerima tawaran tersebut dan menu yang menjadi pilihannya adalah gulai tempoyak yang menjadi menu ikon di negeri Darul Ridzuan itu.
Rata-rata netizen di luar sana menyokong tindakan kerajaan negeri yang mengambil inisiatif untuk menjadikan Sugu Pavithra sebagai ikon. Namun, pasangan tersebut merasakan mereka tidak layak kerana masih banyak lagi yang perlu diperbaiki.
Sumber Gambar: Citermaya.pw
Madu sendiri selalu sokong apa yang terbaik. Bukan senang kita nak jumpa warga Malaysia seperti Sugu Pavithra begitu bersemangat mengejar minat menggunakan kemahiran memasaknya.
Apa yang lebih mengejutkan Madu apabila suami Pavithra, M. Sugu telah berhenti kerja dengan sebuah syarikat perladangan di Sungai Siput bagi memberikan tumpuan sepenuhnya dengan penghasilan video yang lebih menarik dan berkualiti pada masa akan datang.
Kini, perkongsian video masakan mereka kini sudah diikuti hampir 658,000 pengikut pelbagai kaum termasuk daripada luar negara seperti India dan Jepun. Hebat betul penangan video masakan pasangan suami isteri ini.
Apa juga yang Sugu Pavithra dan keluarganya lakukan, Madu dan Maduners doakan yang terbaik untuk keluarga mereka.