Lebur RM81,053 Gara-gara Tawaran Nombor Ekor RM700,000 – Manis Madu
Lebur RM81,053 Gara-gara Tawaran Nombor Ekor RM700,000

Lebur RM81,053 Gara-gara Tawaran Nombor Ekor RM700,000

Dek kerana taksub mahu cepat kaya, seorang kerani wanita telah mengalami kerugian sebanyak RM81,053 gara-gara termakan tipu helah sindiket yang kononnya mampu membantu dia memenangi nombor ekor bernilai RM700,000!

 

Kejadian yang berlaku di Kuantan ini bermula pada 26 Oktober 2020 selepas wanita berusia 33 tahun itu menerima panggilan telefon daripada lelaki tidak dikenali.

 

Lebih mengejutkan, wanita tersebut hanya menyedari telah ditipu setelah langsung tidak menerima wang seperti yang dijanjikan dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, semalam.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pahang, Superitendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek menawarkan diri untuk membantu mangsa memenangi tiket nombor ekor dan mempelawa mangsa menjadi rakan kongsinya di Thailand.

 

“Mangsa bersetuju dengan tawaran itu dan suspek memintanya membuat pelbagai bayaran termasuk caj sembahyang, yuran guaman dan bayaran modal perniagaan bagi mendapatkan nombor ekor itu,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Mohd Wazir berkata, mangsa mula memindahkan wang pada 26 Oktober hinggan 15 Disember lalu dengan 25 transaksi kesemuanya ke dalam tiga akaun berbeza bernilai RM81,053!

 

“Setelah itu, mangsa juga diminta untuk memasukkan lagi wang sebanyak RM4,500 namun mangsa enggan dan membuat laporan polis semalam. Dia lambat membuat laporan polis kerana masih menunggu wang dijanjikan.”

 

Siasatan lanjut dijalankan dan pihak berwajib sudah mengenal pasti pemilik nombor akaun terbabit.

 

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihati supaya tidak mudah mempercayai sebarang tawaran yang meragukan.

Post a Comment