Anak Muda Kelahiran Malaysia Lakar Sejarah Menang Anugerah Oscar! – Manis Madu
Anak Muda Kelahiran Malaysia Lakar Sejarah Menang Anugerah Oscar!

Anak Muda Kelahiran Malaysia Lakar Sejarah Menang Anugerah Oscar!

Anak kelahiran Ampang, Yew Ping Soo, 31, atau lebih suka dikenali sebagai Soya melakar kejayaan di Anugerah Oscar sebagai jurutera rakaman untuk filem Dune baru-baru ini.

 

Menurut Astro Awani, Soya membina kerjayanya sebagai penerbit audio, pembantu pengadun skor, jurutera bunyi dan jurutera rakaman dalam banyak filem Hollywood. Beliau juga terlibat dalam konsert Hans Zimmer Live Europe Tour 2022 yang mengetengahkan 130 pemuzik berbakat.

 

Menurut Soya, Hans merupakan sumber inspirasinya dan menganggap komposer muzik berbangsa Jerman yang terkenal itu sebagai idolanya.

 

“Saya suka bekerja dengannya dan belajar daripada Hans sebab dia bukan sahaja mencabar dirinya sendiri malah turut mencabar kami untuk mencapai visi yang diimpikannya. Beliau percaya terdapat banyak cara untuk mencapai sesuatu asalkan kita gigih berusaha,” katanya.

 

Sebaik sahaja mengetahui Hans telah dianugerahkan Oscar sebagai Skor Muzik Asal Terbaik untuk filem Dune di Anugerah Akademi Mac lalu, Soya sama sekali tidak menyangka usaha mereka akan memperoleh kejayaan besar.

 

Soya turut berkongsi bagaimana dia menyiapkan skor untuk rakaman produksi awal filem itu sebelum pandemik Covid-19 melanda Amerika Syarikat.

 

“Dalam studio, kita selalu dapat ‘undo’ dan ‘redo’ tapi untuk ‘live sound’ tak boleh. Saya tahu memang perit dan jerih, tetapi pengalaman itu amat bermakna untuk saya,” katanya.

 

Bercerita lanjut, Soya kini bekerja dengan produksi studio Hans dan banyak terlibat dengan siri popular dan filem yang ditayang di platform seperti Netflix, Disney Plus dan HBO semasa pandemik.

 

Antaranya seperti siri dan filem The Unforgivable, Army of Thieves, The Survivor, Diary of a Wimpy Kid, The Last Warrior: A Messenger of Darkness, The Gilded Age, Outside the Wire dan Love Wedding Repeat.

 

Soya mendedahkan projek-projeknya banyak disiapkan pada tahun 2021 antara tempoh gelombang varian Delta dan Omicron Covid-19.

 

Hasil kerja Soya juga boleh didapati dalam banyak filem Hollywood popular seperti The Lion King, Ferdinand, X-Men: Dark Phoenix, Ralph Breaks the Internet, Aquaman dan Gears 5.

 

Beliau juga melakar sejarah sebagai rakyat Malaysia yang pertama terlibat dalam francais filem Star Wars menerusi filem Solo: A Star Wars Story.

Post a Comment