Dulu Sara Keluarga Dengan Kerja McD, Sekarang Dia Ke Angkasa Lepas! – Manis Madu
Dulu Sara Keluarga Dengan Kerja McD, Sekarang Dia Ke Angkasa Lepas!

Dulu Sara Keluarga Dengan Kerja McD, Sekarang Dia Ke Angkasa Lepas!

Seorang gadis yang dulunya hidup susah, kini mampu tersenyum bangga apabila terpilih untuk melancong ke angkasa lepas.

 

Menurut laporan stesen penyiaran CNN, Katya Echazarreta, 26, merupakan wanita warganegara Mexico pertama berbuat demikian selepas menjadi sebahagian daripada enam penumpang yang berlepas menggunakan roket firma milik jutawan Jeff Bezos, Blue Origin pada Sabtu lalu.

Roket itu dilancarkan dari Blue Origin di Texas Barat pada pukul 9.26 pagi (waktu tempatan) dan membawa kumpulan pelancong angkasa lepas itu pada ketinggian 99 kilometer dari bumi selama beberapa minit sebelum mendarat semula.

Difahamkan, penumpang misi tersebut kebanyakannya perlu membayar sejumlah wang namun Echazarreta yang merupakan seorang jurutera dibiayai oleh organisasi sains, Space for Humanity bagi menyertai misi itu.

 

Kata gadis itu, dia melihat Bumi dari angkasa lepas mengikut cara tersendiri.

“Apabila melihat ke bawah (Bumi), saya melihat semua kisah lampau, kesilapan, halangan dan segala yang telah berlaku berada di sana,” ujarnya.

 

Echazarreta berkata, dia berpindah ke Amerika Syarikat bersama keluarganya ketika berumur tujuh tahun. Ketika berusia 17 dan 18 tahun, Echazarreta menjadi tulang belakang keluarganya dan perlu menyara kehidupan mereka dengan bekerja di restoran makanan segera McDonald’s.

 

“Ada masanya, saya melakukan empat pekerjaan kerana mahu mengumpul wang bagi memasuki kolej,” katanya.

 

Echazarreta kini melanjutkan pelajaran peringkat sarjana kejuruteraan di Universiti Johns Hopkins.

 

Dia pernah bekerja di makmal Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA)  selain  mengacarakan siri sains di YouTube serta menjadi penyampai  program mingguan di saluran televisyen CBS yang berjudul Mission Unstoppable.

Post a Comment