Awas! Rentas Negeri Hanya Dibenarkan Isnin Hingga Khamis
Dalam pengumuman itu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihaknya amat memandang serius terhadap peningkatan kes COVID-19 di negara ini.
“Usaha-usaha untuk mengekang penyebaran wabak ini diperketatkan lagi dengan mengehadkan pergerakan rentas negeri hanya bagi tujuan pekerjaan, kecemasan dan kematian (hanya membabitkan ahli keluarga terdekat iaitu ibu bapa, anak dan adik beradik sahaja), perubatan, pendidikan serta pasangan jarak jauh.
“Sekiranya permohonan diluluskan, pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan pada hujung minggu dan hanya dibenarkan pada hari Isnin hingga Khamis namun ini tidak melibatkan kes kecemasan seperti kematian, kecemasan dan pasangan jarak jauh”, katanya ketika mengumumkan hal tersebut.
Menurut Harian Metro, Acryl mengulas dengan lebih lanjut, pergerakan rentas negeri yang melibatkan tujuan untuk aktiviti sosial seperti perkahwinan dan majlis keramaian adalah tidak dibenarkan sama sekali.
“Aturan ini akan berterusan hingga Aidilfitri dan sesiapa yang ingkar akan diambil tindakan tegas”, katanya.
Mengulas mengenai ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadhan, beliau berkata bahawa kebanyakan anggotanya telah ditugaskan untuk memantau semua bazar yang terlibat.
“Sekiranya tidak mengikuti SOP yang ditetapkan, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan disaran supaya perniagaan di kawasan-kawasan tersebut dihentikan”, katanya lagi.
Sumber Gambar: thesundaily.my