Cucu Mantan Menteri Besar Terengganu Berbasikal Jadi Penghantar Makanan – Manis Madu
Cucu Mantan Menteri Besar Terengganu Berbasikal Jadi Penghantar Makanan

Cucu Mantan Menteri Besar Terengganu Berbasikal Jadi Penghantar Makanan

Pekerjaan sebagai penghantar makanan sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat. Ramai yang menjadikannya sebagai sumber pendapatan utama dan tidak kurang juga yang melakukannya sebagai pekerjaan sambilan.

Begitu juga yang dilakukan oleh Wan Nabihah Hannah Wan Abdul Hakim, 19, yang sanggup berpanas dan berhujan untuk menghantar pesanan kepada pelanggan sebaik mungkin. Lebih mengagumkan, ia dilakukan menggunakan basikal!

 

Menurut Bernama,  identiti sebenar Wan Nabihah Hannah akhirnya terbongkar dan ramai tidak menyangka bahawa dia adalah cucu kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Allahyarham Tan Sri Wan Mohktar Ahmad.

 

Ini terbongkar apabila bapanya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih iaitu Wan Abdul Hakim memuat naik satu hantaran di Facebook mengenai usaha anak perempuannya itu.

 

Wan Nabihah juga mengakui tujuannya bekerja sebagai penghantar makanan adalah untuk mencari duit poket dan memperoleh pengalaman baharu sepanjang cuti semester.

 

“Saya pilih menjadi penghantar makanan Foodpanda kerana tertarik dengan masa bekerja yang fleksibel. Oleh kerana masih tiada lesen motosikal, saya gunakan basikal sahaja untuk memudahkan pergerakan.

 

“Alhamdulillah, pendapatan dalam tempoh seminggu kerja saya lakukan boleh dapat lebih RM500. Ini membuktikan sesiapa sahaja boleh mencari rezeki halal asalkan tidak terlalu memilih pekerjaan,”

 

Sementara itu, ramai yang tidak menyangka remaja yang pernah menghantar makanan mereka sebelum ini adalah anak dan cucu kepada tokoh politik yang dihormati kerana banyak jasa dilakukan untuk rakyat selama ini.

 

Netizen di Facebook juga berharap usahanya akan menjadi contoh yang baik kepada remaja lain dan pada masa yang sama memuji corak didikan yang diterapkan keluarganya ke arah melahirkan generasi muda yang berkualiti dan rajin berusaha tanpa jalan singkat.

Post a Comment