Cuba Cederakan Pihak Polis & Langgar SOP, Sekumpulan Lelaki Dikompaun RM5,000 Seorang – Manis Madu
Cuba Cederakan Pihak Polis & Langgar SOP Sekumpulan Lelaki Di Kompaun RM5,000 Seorang

Cuba Cederakan Pihak Polis & Langgar SOP, Sekumpulan Lelaki Dikompaun RM5,000 Seorang

Empat lelaki ditahan selepas menghalang penjawat awam menjalankan tugas sebelum dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Taman Desa Damai, Bentong, semalam.  

 

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, sepasukan pegawai dan anggota unit kereta peronda, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Bentong berada di tempat kejadian pada 5.30 petang setelah mendapat maklumat dari orang awam. 

 

Menurut laporan Harian Metro, hasil pemeriksaan mendapati empat lelaki berusia lingkungan 20 hingga 28 tahun sedang berkumpul dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

 

Keadaan menjadi lebih serius apabila sekumpulan lelaki berkenaan didapati berkumpul sambil minum minuman beralkohol.

 

Superintendan Zaiham juga memberitahu bahawa mereka juga datang dari kawasan perumahan yang berlainan di mana kawasan-kawasan berkenaan adalah dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

 

Ketika pemeriksaan dibuat, dua daripada mereka bertindak agresif dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada pihak polis dan enggan mengeluarkan dokumen pengenalan diri.

 

Manakala salah seorang daripada mereka dipercayai cuba mencederakan seorang pegawai kanan polis wanita di lokasi kejadian tetapi berjaya dihalang.

 

Susulan kejadian itu, keempat-empat lelaki berkenaan ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. 

 

Mereka juga dikenakan kompaun RM 5,000 setiap seorang mengikut Peraturan 17 (1) Akta Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) (No 2) 2021.

Post a Comment