Derita Bayi Lahir Tanpa Lubang Dubur – Manis Madu
Derita Bayi Lahir Tanpa Lubang Dubur

Derita Bayi Lahir Tanpa Lubang Dubur

“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.”

 

Itu ungkapan tepat menggambarkan keadaan seorang bayi berusia tiga bulan, Muhammad Fayyadh Zikri Mohamad Faiz yang dilahirkan tanpa lubang dubur selain tidak dapat membuang air kecil dengan sempurna.

 

Menurut bapanya, Mohamad Faiz Abdul Halim, 25, selepas dilahirkan doktor melakukan pembedahan stoma terhadap anak keduanya itu supaya najis dapat keluar pada bahagian perut.

 

“Namun apabila membuang air kecil sebahagian air kecil itu akan keluar menerusi pusatnya dan sebahagian menerusi kemaluan.

 

“Doktor mungkin akan melakukan dua pembedahan terhadap anak saya bagi memastikan dia dapat membuang air besar dan kencing secara normal selepas ini, tetapi tarikhnya belum diketahui memandangkan berat badan anak saya belum cukup lima kilogram (kg),” katanya di sini.

 

Mohamad Faiz berkata, dia terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu di sebuah kedai makan bulan lalu berikutan anaknya perlu melakukan rawatan lanjut di Klinik Kesihatan Changlun dan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar beberapa kali dalam sebulan.

 

Katanya, dia kini hanya menjual pelbagai jenis biskut di tapak pasar malam sebagai ikhtiar untuk kelangsungan hidup mereka sekeluarga.

 

“Isteri saya, Zakirah Ghazali, 25, adalah suri rumah kerana perlu menjaga anak-anak, anak sulung kami Nur Rabiatul Adawiyah baru berusia lima tahun. Dalam seminggu saya dapat berniaga empat atau lima hari sekiranya tidak hujan dengan memperoleh pendapatan kira-kira RM30 sehari.

 

“Duit itulah gunakan untuk membeli susu formula khas untuk Fayyadh dengan harga RM74 sekotak, setiap bulan saya perlu beli tiga kotak.

 

“Selain itu, saya juga perlu membeli peralatan atau barang untuk membersihkan najis anak dianggarkan RM300 sebulan belum termasuk lampin pakai buang,” katanya yang menyewa rumah di Kampung Changkat Setol, Changlun dengan kadar RM350 sebulan.

 

Bercerita lanjut, Mohamad Faiz berkata, baru-baru ini dia juga terpaksa memohon bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk Muhammad Fayyadh.

 

“Bantuan itu saya difahamkan sedang dalam proses. Ramai juga yang membantu meringankan beban saya termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil rakyat tempatan, saya gunakan duit itu untuk membeli barang keperluan Muhammad Fayyadh.

 

“Doktor belum memaklumkan kos pembedahan anak, namun saya perlu menyimpan sedikit demi sedikit dari sekarang kerana selepas pembedahan juga anak saya perlu lakukan rawatan susulan,” katanya.

 

Bagi orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Mohamad Faiz di menerusi talian 0134513575.

Post a Comment