Dibesarkan Keluarga Miskin Kerana Tertukar Bayi, Wanita Terima RM2.2 Juta Pampasan
Seorang wanita di Arab Saudi menerima pampasan sekurang-kurangnya dua juta riyal (RM2.2 juta) dalam satu kes bayi tertukar di negara itu.
Dia yang tidak sengaja ditukar dengan bayi lain selepas dilahirkan dan dibesarkan oleh keluarga miskin selama lebih tiga dekad.
Middle East Monitor melaporkan, wanita berusia 35 tahun itu sebenarnya berasal daripada keluarga yang kaya.
Difahamkan, ketika kejadian berkenaan, dia dilahirkan di sebuah hospital kerajaan di Makkah. Bagaimanapun, seorang jururawat yang memandikan bayi yang baru dilahirkan secara tidak sengaja menyerahkannya kepada ibu yang salah.
Laporan itu menyatakan, wanita itu mula merasakan bahawa dia berbeza daripada keluarganya ketika proses kehidupannya dari masa kecil sehingga meningkat dewasa.
Dia dapat merasakan perbezaan dari segi warna, watak, budaya, pendidikan dan gaya hidup. Perkara itu mendorongnya untuk menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Wanita itu menjalani ujian berkenaan tidak lama selepas dia berkahwin dengan saudara dari keluarga bukan kandungnya dan melahirkan seorang anak lelaki.
Selepas mengetahui mempunyai hubungan dengan ayahnya, dia melakukan pencarian rekod hospital yang kemudiannya menunjukkan identiti sebenar saudara kandungnya.
Bagaimanapun, ibu wanita itu sudah meninggal sebelum sempat mengetahui kebenaran mengenai pertukaran bayi itu atau berpeluang bertemu dengannya.
Sehubungan itu, sebuah mahkamah di Makkah memutuskan mustahil untuk menilai skala kesakitan dan kekecewaan yang harus ditanggung oleh kedua ibu bapa dan wanita itu.
Ia kerana mereka kehilangan peluang untuk menikmati hubungan antara ibu bapa dan anak.
Wanita lain yang terbabit dalam pertukaran bayi itu juga diberikan pampasan 1.7 juta riyal (RM1.8 juta) oleh mahkamah di Jeddah.